PETALING JAYA – Misi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berlari dari Lembah Klang ke Muar bagi mengumpul dana untuk penduduk di kawasan Parlimennya bermula dengan langkah positif apabila berjaya mengutip RM54,692 pada hari pertama.
Syed Saddiq berkata, misi yang bermula semalam itu menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 bagi membantu anak-anak serta penduduk di Parlimen Muar menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.
Menurutnya, perjalanan dari Putrajaya menuju ke Labu, Negeri Sembilan bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah turut menyaksikan sokongan luar biasa daripada orang ramai yang memberikan sorakan dan kata-kata semangat di sepanjang laluan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan serta dorongan sepanjang perjalanan ini.
“Semangat yang diberikan benar-benar menjadi pembakar motivasi untuk saya meneruskan misi ini sehingga tiba di Muar,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Misi larian itu turut menarik perhatian warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan semangat serta mendoakan agar beliau berjaya menamatkan cabaran berkenaan, selain mencapai sasaran kutipan dana RM200,000 bagi manfaat masyarakat di Parlimen Muar.-KOSMO! ONLINE














