KULIM – Mayat tiga mangsa yang lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Sedim, di sini petang tadi ditemukan kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi mereka dipercayai mandi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, semua mangsa dipercayai berkelah di kawasan Tree Top Walk iaitu di kaki Gunung Bintang sebelum sungai itu dilanda kepala air.
Katanya, mangsa pertama iaitu kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan kira-kira satu kilometer dari tempat dia dipercayai berkelah.
“Jarak mangsa kedua iaitu kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan wanita berusia 28 tahun pula dijumpai pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa pertama ditemukan.
“Ketiga-ketiga mangsa telah dibawa naik oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa di Sungai Sedim, di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah Nur Atikah Abdullah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3, serta seorang lagi mangsa dari keluarga berasingan iaitu Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Mohammad Haiqal pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berkelah di kawasan sungai pada musim hujan ini. – KOSMO! ONLINE














