REMBAU – Pekan Kota di sini yang lazimnya lengang dan sepi selepas pukul 9 malam bertukar menjadi pesta apabila ratusan penduduk berhimpun bagi menyambut ketibaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang melaksanakan misi Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer dari Putrajaya.
Suasana di pekan mati itu berubah sama sekali apabila jalan-jalan dipenuhi orang ramai sejak pukul 9.45 malam sehingga mencetuskan suasana seakan-akan pesta.
Sorakan dan tepukan bergema sebaik sahaja beliau memasuki Pekan Kota, malah merakam detik bersejarah itu menggunakan telefon bimbit.
Syed Saddiq di hari kedua penamat misi sempat beramah mesra dan bergambar dengan penduduk setempat sebelum beredar menaiki Caravan yang disediakan.
Larian Kesyukuran itu merupakan simbol penghargaan Syed Saddiq kepada rakyat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang beliau berdepan proses perundangan, selain bertujuan mengumpul dana kebajikan untuk masyarakat di Muar.
Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar. – KOSMO! ONLINE














