KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki bukan warganegara berusia 39 tahun yang disyaki menyerang seorang pelajar universiti swasta menggunakan senjata besi ketika mangsa sedang menunggu bas di hentian bas Jalan Danau Saujana berhampiran Aeon Mall Danau Kota, Setapak.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.
Katanya, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun.
“Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berjaya menahan suspek di tepi jalan di Taman Setapak kira-kira pukul 10.54 pagi.
“Polis turut merampas sebatang besi pemutar jek kereta daripada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dipohon pada 18 Julai 2026.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














