PETALING JAYA – Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana mengakui tidak dapat tidur malam sejak pulang daripada misi kemanusian hampir dua bulan lalu.
Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil ,41, perubahan zon waktu dikujunginya dalam misi kemanusiaan Sumud Flotila 2.0 yang lalu membuatkan waktu tidurnya jadi tidak menentu.
“Negara pertama yang saya pergi adalah Mesir selama seminggu. Kemudian saya ke Sepanyol. Selepas itu ke Itali pula sebelum berakhir Turkiye.
“Selepas itu saya pulang ke Malaysia sekejap sebelum terbang semula ke Marmaris dan Istanbul.
“Bila selesai sahaja misi, saya pulang ke Malaysia sibuk pula pindah rumah. Dan sambung rekod lagu baharu bersama Malique dari pukul 9 malam sampai 6 pagi selama beberapa hari,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Yang Tinggal, di sini, baru-baru ini.
Tambah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketujuh itu lagi, dia cuba untuk tidur tetapi akan terjaga selepas beberapa jam.
“Saya tidur awal dengan harapan akan terjaga esok pagi. Tetapi bila saya terjaga rupanya baru pukul 10 malam. Rasa macam sudah lama tidur.
“Saya cuba untuk buat macam-macam kerja supaya badan jadi penat dan saya boleh tidur. Tetapi tetap akan terjaga.
“Saya ada mengadu pada ibu. Ibu minta saya banyakkan berselawat. Katanya kalau berlarutan, dia minta saya jumpa doktor,” kongsinya.
Walaubagaimanapun kata Zizi, setakat ini situasi tersebut tidak mengganggu kesihatannya dan dia masih boleh bekerja seperti biasa.
“Alhamdulillah kesihatan saya masih okey. Mungkin sebab saya sejenis yang suka makan vitamin. Saya memang ambil macam-macam vitamin sejak pergi misi kemanusian. Saya ambil vitamin supaya saya sentiasa sihat ketika menjalani misi kemanusian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zizi baru sahaja lancarkan lagu baharunya berjudul Yang Tinggal berkolaborasi dengan Malique dan Yasin Sulaiman. – KOSMO! ONLINE.















