fbpx
DZULKHAIRI MUKHTAR.

Remaja kelar leher, tangan: Kekasih bekal vape mushroom ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan selepas disyaki membekalkan vape mushroom kepada kekasihnya berusia 14 tahun yang sebelum ini ditemui dalam keadaan parah akibat mengelar leher dan kedua-dua tangannya dalam kejadian di Banda Hilir di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek yang juga pelajar sekolah itu telah ditahan semalam bagi membantu siasatan selepas dipercayai menjadi individu membekalkan bahan terlarang berkenaan kepada mangsa.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek bagaimanapun didapati negatif dadah.

“Suspek kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 376KK Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan parah selepas dipercayai mengelar leher dan kedua-dua tangannya sendiri menggunakan pisau di sebuah rumah di Banda Hilir.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah menerima rawatan di Hospital Melaka dan dilaporkan stabil sebelum dibenarkan keluar wad kelmarin.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika remaja tersebut berada di bawah pengaruh vape mushroom.

“Remaja perempuan itu dikatakan masuk ke bilik tidur di tingkat satu rumah kira-kira pukul 10.33 malam sebelum mengelar kedua-dua tangan dan leher menggunakan pisau.

“Kejadian berlaku selepas ibu angkat mangsa melarangnya keluar bersama suspek dan mendakwa anaknya itu berada dalam keadaan tidak terkawal akibat pengaruh vape mushroom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa dipercayai mula terlibat dengan tabiat menghisap vape atau rokok elektronik sejak Februari lalu selepas berkenalan dengan suspek.

Ujarnya, pihak polis telah mendapatkan keterangan beberapa ahli keluarga mangsa yang berusia antara 14 hingga 75 tahun bagi melengkapkan siasatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN