Saudara Pengarang,
Kerja-kerja menaik taraf Jalan Labohan Dagang-Nilai berhampiran Kota Warisan, Sepang, Selangor sudah lebih setahun dilakukan pihak terbabit dan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan selesai.
Difahamkan kerja-kerja itu dilakukan bagi mengelakkan jalan tersebut dinaiki air setiap kali hujan lebat memandangkan kawasan tersebut agak rendah berbanding lokasi lain di Kota Warisan dengan hanya terdapat parit yang tidak dapat menampung limpahan air hujan.
Jika mengikut jadual asal, ia dikatakan siap akhir Disember tahun lalu, tetapi kini sudah pertengahan Februari 2026, projek tersebut masih berjalan.
Kami yang tinggal berhampiran Kota Warisan amat mengharapkan agar ia dapat disiapkan dengan cepat kerana lebih setahun terseksa melalui jalan agak jauh untuk ke Kota Warisan dan Putrajaya apabila perlu membuat pusingan ‘U’ di lampu isyarat berhampiran bangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat KLIA.
Jalan itu turut dilalui kenderaan yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Banting dan juga mereka yang mahu memasuki Lebuh Raya Elite untuk ke Shah Alam.
Kalau tidak pun, kami terpaksa melalui laluan ke Kompleks Mahkamah Sepang untuk ke Kota Warisan yang mengambil masa yang agak lama memandangkan perlu menempuh bukan satu, tetapi tiga lampu isyarat sebelum masuk ke jalan menuju Putrajaya.
Kesesakan teruk berlaku di waktu puncak terutama pada waktu pagi sewaktu semua orang bergegas ke tempat kerja dan pernah satu ketika, mereka yang ingin ke KLIA terpaksa menempuh kesesakan hampir dua jam.
Kalau boleh kami mahu pihak terbabit memberikan tempoh yang tepat bila projek berkenaan boleh disiapkan bagi membolehkan penduduk di sekitar kawasan berkenaan tidak lagi dibelenggu dengan kesesakan teruk pada waktu-waktu tertentu.















