PETALING JAYA – Tindakan murni seorang wanita membelikan sepapan telur buat seorang warga emas di sebuah pasar raya menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Ms.joanwong, seorang mak cik di kaunter pembayaran terpaksa meletakkan semula barang keperluan asas yang ingin dibeli kerana kekurangan wang tunai.
Menurutnya, mak cik tersebut mengambil telur, mi segera dan minyak yang berjumlah RM38.40, tetapi hanya mempunyai RM20 sebelum bertindak meminta juruwang untuk meletakkan semula telur yang diambilnya itu demi memastikan barang lain dapat dibayar.
“Mak cik yang beratur depan aku beli barang asas je, tapi ada RM20 untuk bayar dan tak cukup duit. Lepas kira dia tanya cashier (juruwang), kalau dia letak balik telur ni, cukup tak?,” katanya pada hantaran tersebut.
Wanita berkenaan kemudian bertindak mengambil telur tersebut dan membayarnya, serta bertindak memberikannya kepada mak cik tersebut.
“Terima kasih, rezeki anak saya hari ini,” kata mak cik itu kepadanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum dengan nilai empati tinggi yang ditunjukkan oleh wanita tersebut selain mendoakan agar dia dimurahkan rezeki.
“Terima kasih kerana berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Semoga awak dimurahkan rezeki pada masa depan. Sebab itu kita kena sentiasa bersyukur,” ujar Williamalsaliba.
“Sebab itu kita kena belajar bersyukur ya. Dekat luar sana ramai yang terpaksa ikat perut sebab susah nak sediakan makanan atas meja,” kata Sdjbnc. – KOSMO! ONLINE















