JOHOR BAHRU – Penantian hampir dua dekad akhirnya berbaloi buat seorang warga emas apabila berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Supaid Karmat, 75, berkata, detik mencelup jari dengan dakwat kekal dan memangkah kertas undi menjadi saat paling bermakna dalam hidupnya selepas sekian lama menunggu untuk bergelar pengundi di negara ini.
Bekas warga Singapura yang memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 2024 itu mengakui sebak apabila impian yang dipendam selama kira-kira 20 tahun akhirnya menjadi kenyataan.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya mampu menghantar isteri serta enam anaknya ke pusat mengundi setiap kali pilihan raya diadakan tanpa berpeluang menunaikan tanggungjawab itu sendiri.
“Selama ini saya hanya menjadi pemandu yang menghantar isteri dan anak-anak mengundi. Setiap kali melihat mereka masuk ke pusat mengundi, saya sentiasa berdoa agar suatu hari nanti tiba pula giliran saya.
“Hari ini perasaan saya sukar digambarkan. Selepas hampir 20 tahun memohon kewarganegaraan Malaysia, akhirnya saya dapat berdiri di bilik mengundi sebagai seorang rakyat Malaysia yang sah,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Dahlia di sini hari ini.
Supaid berkata, walaupun status kewarganegaraannya sebelum ini berbeza dengan ahli keluarga lain yang semuanya merupakan rakyat Malaysia, kasih sayangnya terhadap negara ini tidak pernah berubah.
“Saya sangat sayangkan Malaysia. Negara ini aman, makmur dan menjadi tempat berteduh untuk semua rakyat. Harapan saya semoga keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus berkekalan serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.-KOSMO! ONLINE















