PETALING JAYA – Seorang lelaki mendakwa isterinya yang sedang hamil 38 minggu diperlakukan seperti penjenayah apabila ditahan kakitangan sebuah pasar raya di Selayang kerana disyaki menyembunyikan barangan curi di dalam perutnya.
Menerusi hantaran dimuat naik pengguna Threads, @Fareezshah10, kejadian berlaku sebaik sahaja mereka selesai membuat pembayaran barangan sebelum dihentikan seorang kakitangan lelaki.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih mengejutkan apabila kakitangan terbabit memandang ke arah perut isterinya sebelum bertanya sama ada wanita itu menyembunyikan barangan di dalam perutnya.
“Dia memandang perut isteri saya sebelum bertanya, ‘Akak ada simpan barang apa dalam perut tu?'”katanya.
Dia berkata, apabila dia meminta bukti bahawa isterinya mencuri, kakitangan terbabit sebaliknya meminta Buku Pink sebagai bukti kehamilan sebelum mengarahkan isterinya menunjukkan bahagian perut bagi membuktikan tiada barangan disorok.
“Bayangkan seorang wanita yang hamil 38 minggu diminta membuktikan dia benar-benar mengandung hanya kerana bentuk perutnya dianggap mencurigakan. Saya hilang sabar dan meminta mereka mengemukakan bukti, saksi serta memanggil penyelia jika benar isteri saya dituduh mencuri,” katanya.
Menurutnya, mereka kemudian terpaksa menunggu hampir 20 minit di hadapan pelanggan lain sementara pihak pasar raya menghubungi penyelia, sekali gus menyebabkan isterinya berasa malu dan tertekan.
Katanya, sebaik penyelia tiba, dia meminta juruwang yang membuat dakwaan tampil memberi penjelasan sebelum wanita itu mengakui tidak pernah melihat isterinya mengambil sebarang barang.
“Rupa-rupanya dia hanya mengesyaki isteri saya kerana merasakan perutnya tidak kelihatan seperti wanita hamil dan menyangka ada barangan disembunyikan. Hakikatnya, tiada saksi, tiada bukti dan tiada barang yang hilang,” katanya.
Dia berkata, juruwang berkenaan akhirnya memohon maaf kepada isterinya, manakala kakitangan lelaki yang menahan mereka hanya berbuat demikian selepas dia bertindak menghampirinya kerana terlalu marah.
“Ini bukan lagi soal permohonan maaf. Isteri saya sedang mengandungkan anak pertama kami dan bakal bersalin pada bila-bila masa. Sepanjang kehamilan, saya cuba melindunginya daripada tekanan, tetapi dalam beberapa minit dia diperlakukan seperti penjenayah hanya kerana bentuk perutnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berharap pihak pasar raya berkenaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden berkenaan agar tiada lagi wanita hamil menerima layanan sedemikian pada masa akan datang.
“Jika benar ada syak wasangka berlaku kecurian, ikutlah prosedur dengan profesional. Jangan membuat andaian, jangan minta wanita hamil menunjukkan perut atau rekod perubatannya di khalayak ramai hanya untuk membuktikan dia benar-benar mengandung,” katanya. – KOSMO! ONLINE















