MELAKA – Mangsa banjir di Taman Rambai Indah di sini kini bergelut membersihkan kediaman yang dipenuhi lumpur selepas air mula surut, malah ada yang mengakui terlalu penat sehingga terpaksa merayu lebih ramai sukarelawan tampil menghulurkan bantuan.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati kebanyakan penduduk bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing selain mengeluarkan perabot dan barangan elektrik yang rosak selepas ditenggelami banjir.
Seorang mangsa, Norjalilah Kaur Abdullah, 62, berkata kerja pembersihan kali ini amat memeritkan memandangkan rumahnya dipenuhi lumpur dari ruang tamu hingga ke dapur, manakala beberapa bilik masih digenangi air bertakung.
Katanya, dia yang tinggal bersama anak bongsunya berusia 22 tahun bagaimanapun berasa sangat bersyukur apabila beberapa sukarelawan tampil membantu membersihkan kediaman mereka.
“Penat sangat sampai rasa mahu menangis, dengan keadaan umur begini memang sukar untuk mengemas rumah. Setakat ini saya dan anak-anak buat yang termampu kerana ini banjir paling teruk sejak saya menetap di taman ini lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa, Acul Adnan, 50, berkata, kejadian kali ini merupakan banjir paling buruk dialaminya sepanjang lebih 30 tahun menetap di kawasan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, dianggarkan lebih 250 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan terjejas akibat banjir dan kini melalui proses pembersihan pasca banjir. – KOSMO! ONLINE















