KULAI – Kerajaan Persekutuan digesa menyegerakan pelaksanaan projek Transit Aliran Automatik Bertingkat (E-ART) di Johor Bahru bagi menangani kesesakan trafik yang dijangka bertambah teruk selepas Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) mula beroperasi awal tahun depan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaksanaan langkah jangka pendek dan sederhana ketika ini seperti pengurusan trafik pintar serta penyusunan semula pergerakan bas, teksi dan e-hailing di Johor Bahru Sentral hanya bersifat sementara.
Beliau berkata, projek E-ART merupakan penyelesaian utama yang telah dibentangkan di peringkat Kabinet pada tahun 2024, namun sehingga kini masih belum dimulakan kerja fizikal di lapangan.
Menurutnya, rakyat Johor khususnya di Johor Bahru masih menantikan kepastian mengenai garis masa pelaksanaan projek berkenaan termasuk tarikh sebenar kerja-kerja pembinaan akan dimulakan.
“Persoalannya sekarang, bila projek ini akan dimulakan? Orang Johor tertanya-tanya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, di sini hari ini.
Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa setakat ini Letter of Award (LOA) bagi projek berkenaan masih belum dikeluarkan walaupun projek itu dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan selepas dimulakan.
Beliau menegaskan keperluan mendesak projek itu semakin ketara memandangkan RTS Link yang menghubungkan Bukit Chagar dan Woodlands North dijangka meningkatkan kemasukan penumpang ke Johor Bahru.
Tanpa sistem pengangkutan awam berkapasiti tinggi, katanya, aliran penumpang daripada RTS berpotensi menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya sedia ada di pusat bandar Johor Bahru.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan projek E-ART tidak dilaksanakan melalui proses tender biasa Kementerian Pengangkutan, sebaliknya menerusi kaedah kerjasama awam swasta (PPP).
Beliau berkata, proses permintaan cadangan (RFP) bagi projek itu dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri yang kini berada di peringkat penilaian akhir.
Menurutnya, UKAS telah memperoleh kelulusan Kabinet untuk melaksanakan proses penilaian sebelum Letter of Award dikeluarkan kepada pihak yang berjaya.
Anthony Loke berkata, E-ART akan dibina menggunakan laluan khas atau jejambat bagi memastikan pergerakan sistem transit itu tidak bercampur dengan aliran trafik biasa.
Jelasnya, pengangkutan E-ART tersebut berbentuk seperti kereta api tetapi menggunakan roda seperti bas serta mempunyai beberapa gerabak yang disambungkan bagi meningkatkan kapasiti penumpang.
Beliau menegaskan projek itu berpotensi menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah kesesakan di Johor Bahru, khususnya dalam memperkukuh integrasi dengan RTS Link dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam bandar.-KOSMO! ONLINE














