KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Smart Lane di beberapa jajaran Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) terbukti berkesan apabila berjaya mengurangkan kesesakan trafik antara 30 hingga 50 peratus sejak diperkenalkan pada 2023.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut mendapati kadar kemalangan di lokasi Smart Lane adalah rendah berbanding jumlah keseluruhan trafik yang menggunakan laluan berkenaan.
“Sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, hanya 36 kemalangan direkodkan di 12 lokasi Smart Lane pada hari bekerja, dengan kes melibatkan penunggang motosikal lebih rendah berbanding laluan biasa.
“Smart Lane bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik pada waktu puncak dan musim perayaan, malah pelaksanaannya sentiasa melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai justifikasi pelaksanaan Smart Lane dengan mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal.
Menurut Nanta, hasil analisis mendapati kebanyakan kemalangan berpunca daripada kegagalan pengguna mematuhi peraturan, termasuk menggunakan lorong kecemasan di luar zon Smart Lane, menukar lorong secara berbahaya serta memberhentikan kenderaan tanpa kecemasan.
Dalam pada itu, beliau berkata, LLM mewajibkan syarikat konsesi melantik juruaudit keselamatan jalan raya bebas bagi menjalankan audit keselamatan setiap lima tahun, termasuk menilai aspek keselamatan pelaksanaan Smart Lane.
Tambah beliau, Kementerian Kerja Raya dan LLM juga sedang memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kepadatan trafik secara masa nyata untuk memastikan aliran trafik dapat diselaraskan dengan lebih cekap.- KOSMO! ONLINE.














