SETIAP kali melihat lauk-pauk, tidak kira di kedai makan atau di mana-mana sahaja, fikiran Azri (bukan nama sebenar) pasti teringat akan satu peristiwa hitam.
Meskipun sudah lapan tahun berlalu, namun dia tidak pernah melupakan episod tersebut.
Membuka kisah bersama K-Wanita, lelaki kelahiran Bachok, Kelantan itu bernikah dengan isterinya, Mimi (bukan nama sebenar) atas dasar suka sama suka.
Pernikahan mereka direstui oleh kedua-dua belah keluarga dan disatukan dalam sebuah majlis serba ringkas.
Sepanjang lapan tahun hidup berumah tangga, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
“Salah satu sebab saya terpikat dengan isteri kerana dia seorang wanita yang pandai masak pelbagai jenis lauk-pauk.
“Isteri pernah beritahu saya, dia memang suka masak dan mula masuk dapur sejak berusia lapan tahun,” ujarnya.
Tidak setakat itu, isterinya juga mempunyai pelbagai kelebihan lain seperti pandai menjahit, menggubah bunga dan beberapa bakat lain.
Akui eksekutif kewangan berusia 40 tahun itu, dia beruntung kerana isterinya merupakan suri rumah tangga yang sentiasa ringan tangan untuk memasak.
Meneruskan cerita, Azri memberitahu, setiap kali ke tempat kerja, pasti ada sahaja lauk-pauk yang dibekalkan oleh isterinya, sekali gus menyebabkan dia enggan makan di luar.
“Saya memang makan apa sahaja yang dimasak oleh isteri. Dia juga sudah tahu makanan kegemaran saya.
“Saya juga jarang beli makanan atau makan di luar kerana isteri lebih suka masak dan menjamu kami anak-beranak dengan air tangannya.
“Hal ini membuatkan saya ‘selesa’ dengan masakan isteri, sampaikan dia sakit pun saya mahu makan masakannya.
“Mudah kata, saya jadi terlalu ‘manja’ dan langsung tidak mahu makan di luar kerana sudah biasa dengan masakan isteri,” tuturnya.
Ujar Azri, pada awalnya, isterinya cuba memenuhi segala permintaannya dengan memasak apa sahaja yang dimahukan, meskipun ketika kurang sihat.
Pun begitu, lama-kelamaan isterinya mula berubah dan enggan lagi masak untuk Azri. Hal ini kerana isterinya sudah mula jemu dan penat.
“Isteri ada beritahu, dia penat dan rasa malas kerana terlalu mengikut kemahuan saya terutama dalam bab masak.
“Dia juga ada maklumkan, saya sebagai suami langsung tidak pernah memberinya masa untuk berehat, walau sehari.
“Saya akui, saya memang susah sedikit hendak makan di luar jika isteri tidak masak.
“Saya juga seperti tiada hati perut kerana tetap minta isteri masak, walaupun dia dalam keadaan tidak sihat seperti demam dan pening kepala,” katanya.
Ujar Azri lagi, dia langsung tidak mahu mengalah, apatah lagi menurunkan ‘ego’ dengan isterinya.
Hal ini membuatkan mereka sering bergaduh besar, sekali gus menyebabkan isterinya menuntut cerai daripada Azri.
Jelas Azri, isterinya telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah kerana sudah tidak tahan dengan sikapnya yang tidak mahu bertolak ansur dalam soal makan.
Selepas melalui beberapa proses, mahkamah akhirnya meluluskan permohonan cerai isterinya, sebelum akhirnya mereka sah berpisah.
Jauh dalam sudut hati Azri, dia berasa kesal dengan sikapnya yang memperlakukan isterinya seperti orang gaji.














