fbpx
SUSUNAN perabot memainkan peranan penting pada ruang tamu kediaman.

K2

Corak batik, songket naikkan mood lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMA tradisional sering menjadi pilihan untuk dekorasi hiasan dalaman kediaman lebih-lebih lagi apabila tiba sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sentuhan dekorasi sebegitu juga dapat mewujudkan suasana desa, sekali gus mengimbau kenangan beraya di kampung halaman.

Beberapa perhiasan bercirikan corak batik dan songket dapat menyerlahkan identiti kemelayuan, di samping memberi sentuhan mewah dan tradisional.

Selain memfokuskan barangan perhiasan, pilihan rona juga penting bagi menonjolkan mood raya.

Menurut arkitek dalaman, Zairis Zafira Mior Zawari, pilihan warna seperti hijau, emas dan putih sering dikaitkan dengan hari raya.

Katanya, buat penggemar sentuhan moden, tidak salah sekiranya memilih kombinasi tiga warna tersebut untuk menjadikan kediaman lebih ceria dan elegan.

“Warna pastel dapat menimbulkan mood tenang dan nyaman. Setelah membuat pilihan warna, pilih perhiasan lantai atau karpet yang memiliki corak klasik seperti batik dan songket.

“Gaya sebegini akan membuatkan sesebuah ruang itu lebih menyerlah dan mempunyai identiti tersendiri.

“Tidak lupa juga pilihan aroma raya iaitu wangian lilin dan semburan wangian aromaterapi seperti lavender, pandan dan kasturi untuk mencipta suasana lebih tenang.

“Maklum sajalah, ramai tetamu yang akan berkunjung ke rumah apabila Syawal nanti.

“Sentuhan semula jadi seperti bunga segar juga mampu menambahkan seri terutamanya di atas meja makan atau ruang tamu.

“Pilihan tumbuhan segar seperti pokok palma dan monstera juga mampu menaikkan aura ruang di rumah,” katanya kepada CitaRasa.

Kata Zairis, kekemasan ruang juga memainkan peranan penting agar tidak kelihatan serabut.

Disebabkan itu, susunan perabot memainkan peranan utama kerana ia menyediakan ruang untuk bersantai sambil berbual bersama tetamu.

“Paling utama, kebersihan rumah dan susun atur perabot.

“Ini kerana, ia akan memberikan keselesaan kepada tuan rumah dan tetamu yang datang beraya.

“Bagi mewujudkan ruang tumpuan, boleh ciptakan sudut foto mini dengan hiasan tradisional.

Pilih bekas simpan kuih raya mengikut tema warna dalaman rumah.

“Cipta sudut foto mini di ruang tamu atau bersebelahan dengan pintu masuk.

“Menghias rumah dengan perhiasan raya seperti gantungan bertemakan raya merupakan salah satu cara untuk menjadikan dekorasi dalaman lebih istimewa.

“Gantungan hiasan seperti ketupat, pelita dan kain batik juga boleh digunakan untuk dijadikan hiasan dekorasi sempena hari raya.

“Hiasan seperti ini dapat menaikkan semangat raya dan membuatkan sesuatu ruang kelihatan berbeza berbanding hari kebiasaan.

“Hiasan do it yourself (DIY) seperti kad dan sampul raya mampu memberikan sentuhan tradisional, selain menjadikan simbolik kepada sambutan hari raya.

“Kehadiran perhiasan begini juga boleh memberi suasana klasik dan nostalgia,” katanya.

Kemudian, Zairis menasihati orang ramai supaya memilih bekas simpan kuih yang sesuai dengan tema hiasan.

Bukan sahaja bersifat praktikal, bekas simpanan itu juga menjadi salah satu daya penarik dan tumpuan tatkala tetamu datang ke rumah.

Begitu juga dengan pilihan sarung kusyen kecil yang boleh diletakkan sebagai hiasan sofa. Pilihan corak tradisional seperti batik dan songket boleh menaikkan mood raya kerana ia kelihatan klasik.

“Pilih bekas simpan kuih mengikut tema warna dalaman. Begitu juga dengan pemilihan material bekas kuih seperti plastik atau kaca.

“Corak seperti abstrak atau bunga-bungaan terutamanya pada bekas seramik mampu mengindahkan meja makan seiring dengan dekorasi rumah.

“Semestinya, pilih bekas kuih yang tahan lasak dan mudah dibersihkan. Paling utama, pastikan ia mudah dibersihkan dengan memiliki penutup supaya kuih sentiasa dalam keadaan baik.

“Sebagai contoh, sekiranya rumah menggunakan banyak elemen kaca atau cermin, boleh pilih bekas kuih kaca dengan corak moden.

“Jika lebih suka gaya desa, boleh pilih bekas kuih dengan corak rotan atau kayu agar dapat menyerahkan pesona semula jadi dan sederhana. Pilihan seperti ini sesuai untuk kediaman yang mempunyai dekorasi rustik atau bercirikan kampung kerana kelihatan lebih klasik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN