fbpx
AUNI BATRISYIA (duduk, tengah) ketika ditemui selepas mendaftar sebagai pelajar baharu di TVETMara Seberang Perai Utara semalam. – DANIAL SAAD

‘Saya hanya minta laptop, tapi ditawar ke TVETMara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Membesar sebagai anak yatim piatu dan hidup dengan serba kekurangan sedikitpun tidak mematahkan semangat seorang remaja, Auni Batrisyia A. Rahman Siyutti, 18, untuk mengubah nasib keluar­ganya melalui pendidikan.

Sebaliknya, Auni Batrisyia mahu menggunakan sebaiknya peluang mengikuti pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri) di TVETMara Seberang Perai Utara (SPU) sebagai titik perubahan dalam kehidupannya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang membantunya untuk melanjutkan pengajiannya di TVETMara.

“Pada mulanya saya hanya mahu memohon bantuan sebuah komputer riba selepas mendapat tawaran menyambung pengajian di sebuah institut pengajian di Jitra, Kedah.

“Ini kerana bidang kejurute­raan sangat diperlukan dalam pengajian ini dan tidak sangka pihak Pejabat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Pengkalan Hulu melanjutkan permintaan saya kepada Datuk Asyraf.

“Saya kemudian dihubungkan oleh Datuk Asyraf dan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di TVETMara SPU,” katanya ketika ditemui pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu TVETMara SPU di Tasek Gelugor di sini, semalam.

Jelas Auni Batrisyia, dia tidak menyangka akan menerima tawaran tersebut kerana sebelum ini menganggap peluang kemasukan ke institusi berkenaan agak sukar memandangkan tempat yang terhad.

“Saya pernah terfikir untuk masuk TVETMara tetapi mengakui agak sukar kerana kuota kemasukannya agak terhad, malah bidang yang dipohon juga lebih sesuai dengan lelaki.

“Bagaimanapun, saya berjanji akan menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin dengan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih baik serta mahu menambah ilmu dan pengalaman dalam bidang elektrik.

“Bukan setakat itu, saya juga mahu membalas jasa abang dan kakak yang banyak membantu saya sejak ayah dan ibu meninggal dunia. Jadi, saya harap suatu hari hari nanti saya dapat membalas budi mereka,” ujarnya.

Cerita Auni Batrisyia lagi, dia juga sanggup mengumpul duit raya dan mengambil upah me­ngasuh tiga kanak-kanak di kediaman pusaka ibu ayahnya sejak Mac lalu demi kelangsungan hidup dan pelajarannya.

“Saya seboleh-bolehnya ti­dak mahu menyusahkan adik- beradik lain dan sedaya upaya mahu mencari sumber pendapatan sendiri selepas tamat persekolahan. Lagipun, abang dan kakak juga sudah berumah tangga,” katanya.

Terdahulu, kisah Auni Batrisyia tular selepas Asyraf Wajdi memuat naik hantaran di laman Facebooknya mengenai keha­diran remaja itu ke Nadi di Pengkalan Hulu, Perak.

Katanya, Auni Batrisyia kehilangan ayah pada 2014, manakala ibunya meninggal dunia ketika wabak Covid-19 tahun 2021 sebelum tinggal berseorangan di rumah pusaka orang tua di Kampung Air Panas, Gerik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN