Pilihan raya mempunyai satu keistimewaan yang sukar ditemui pada waktu lain. Ia bukan sekadar sebagai pentas demokrasi, tetapi lebih daripada itu menjadi musim untuk orang politik turun padang.
Yang lama tidak kelihatan mula muncul di warung kopi, di pasar malam, di kenduri kampung dan di laman media sosial. Semuanya dengan satu tujuan iaitu mahu mendekati rakyat.
Begitulah juga suasana yang mula dirasai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka menjadi tumpuan politik negara dalam masa terdekat. Walaupun tarikh sebenar belum diumumkan, bahangnya sudah mula terasa di akar umbi.
Tiba-tiba jalan kampung yang selama ini sunyi mula menerima kunjungan tetamu penting. Surau dan dewan orang ramai tidak ketinggalan menjadi lokasi pertemuan.
Program gotong-royong, sukan rakyat, pemeriksaan kesihatan percuma dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan mula disusun dengan lebih kerap daripada biasa.
Hakikatnya, tidak salah untuk pemimpin turun padang. Malah itulah yang sepatutnya dilakukan sepanjang masa. Namun, rakyat hari ini semakin bijak menilai dan mereka tahu membezakan antara kehadiran yang lahir daripada tanggungjawab dengan kehadiran yang muncul kerana musim pilihan raya.
Ada calon yang tiba-tiba menjadi sangat mesra. Bersalaman dengan semua orang, tidak kira tua atau muda. Yang selama ini sukar ditemui, kini nombor telefon pula diedarkan kepada orang ramai.
Mereka yang sebelum ini sibuk dengan pelbagai urusan, kini sanggup meluangkan masa berjam-jam mendengar rungutan rakyat.
Media sosial juga menjadi medan utama. Setiap hari ada sahaja video, gambar dan siaran langsung yang memaparkan aktiviti turun padang. Ada yang menziarahi warga emas, ada yang membantu peniaga kecil dan ada yang mengunjungi rumah penduduk yang memerlukan bantuan.
Ironinya, semua parti yang bakal bertanding akan menggunakan strategi masing-masing. Mereka mempunyai pasukan kempen, pakar komunikasi dan pelbagai pendekatan bagi memastikan mesej sampai kepada pengundi.
Dalam dunia politik moden, perhatian rakyat adalah aset yang sangat berharga.
Namun persoalan yang sering bermain di fikiran rakyat cukup mudah. Mengapa banyak perkara hanya menjadi keutamaan apabila pilihan raya semakin hampir?
Mengapa suara rakyat yang sebelum ini tenggelam tiba-tiba menjadi begitu penting ketika musim kempen?
Apa yang pasti, rakyat Johor dan Negeri Sembilan bukan pengundi yang mudah terpesona dengan bendera besar, poster berwarna-warni atau slogan yang sedap didengar.
Mereka sama seperti pengundi negeri lain yang mahukan kehidupan lebih baik, peluang pekerjaan, pendidikan anak-anak dan isu keselamatan serta kemudahan yang bermanfaat.
Justeru, pilihan raya bukan pertandingan populariti, tetapi ia adalah proses menentukan siapa yang akan diberikan amanah untuk mentadbir dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.














