fbpx
VIDEO yang disiarkan mestilah bertujuan baik untuk meninggikan syiar Islam dengan menunjukkan proses penyembelihan mengikut syarak. – gambar hiasan

Hukum tayang video penyembelihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH pandangan Ustaz tentang perkongsian gambar atau video sedang sembelih haiwan korban di media sosial?

JAWAPAN: OLEH sebab akses dan capaian yang begitu meluas melalui media sosial, timbul pelbagai reaksi terhadap satu-satu isu. Kadang-kadang suatu perkara yang pada asal hukumnya adalah disyariatkan di dalam Islam boleh disalah faham dan mencalar imej Islam sama ada kerana tiada penjelasan, terdapat tokok tambah atau disebarkan tanpa adab Islam yang luhur. Ini banyak berlaku seperti dalam isu-isu pemerkasaan undang-undang Syariah, isu poligami, isu nasab anak zina dan tidak terkecuali isu berkongsi foto dan video penyembelihan haiwan korban di media sosial.

Sehubungan itu, di dalam fiqh dakwah terdapat konsep al-tadarruj (beransur-ansur) iaitu sesuatu hukum syarak itu dilaksanakan dan diajar secara bermanhaj dan mengambil kira keadaan mad`u (orang yang sedang didakwah dan diajar). Lihatlah bagaimana ayat-ayat pengharaman arak diturunkan sebanyak tiga peringkat bermula pada menyatakan keburukannya pada diri dan ibadat, seterusnya disarihkan pengharamannya. Ini kerana mafsadah jika ada manusia yang lemah imannya setelah memeluk Islam lalu keluar Islam itu lebih besar daripada terus difokuskan pada pelaksanaan syariat yang bersifat luaran.

Dalam isu berkaitan penyembelihan haiwan korban, haiwan yang dihalalkan untuk dimakan seperti unta, lembu dan kambing, disediakan untuk ibadah korban seperti mana yang telah disyariatkan. Allah SWT menjadikan haiwan untuk maslahat hidup manusia. Sebahagiannya dijadikan sebagai kenderaan dan alat bertani, manakala sebahagian lain dijadikan makanan. Jika suatu itu sudah disyariatkan, maka sudah pasti ada kebaikan dan maslahat untuk hidup manusia. Yang penting, hendaklah syariat itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan ihsan.

Justeru, kami berpandangan bahawa hukum menayang gambar dan video penyembelihan di media sosial adalah harus, namun mestilah dilaksanakan dengan dawabit yang khusus. Dawabit atau garis panduan tersebut ialah pertama, hendaklah tujuan penerbitan gambar dan video penyembelihan tersebut bertujuan baik dengan dinyatakan penjelasan. Contohnya, meninggikan syiar Islam sempena hari raya dengan menunjukkan proses penyembelihan mengikut syarak, isu-isu syarak yang berkaitan dengan penyembelihan dan adab-adab ketika menyembelih. Firman Allah Taala:

“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”

(Surah al-Dhuha: 11)

Imam al-Qurtubi (w.671) rahimahullah menyebut tafsir ayat ini: “Sebarkanlah apa yang Allah kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktirafnya nikmat tersebut adalah bentuk kesyukuran.”

Rujuk Tafsir al-Qurtubi (20/102)

Kedua, hendaklah ditunjukkan akhlak, etika dan adab sebenar dalam Islam ketika menyembelih untuk menunjukkan konsep ihsan. Sabda Rasulullah SAW:

 Daripada Syaddad RA bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Tajamkanlan alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan.”

Riwayat Muslim (1955)

Ketiga, hendaklah dielakkan unsur-unsur provokasi dan fitnah yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan menjadi tohmahan memburukkan imej Islam. Contohnya sengaja mencetuskan kenyataan atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina golongan bukan Islam atau komuniti yang memperjuangkan hak-hak binatang atau memijak-mijak kepala haiwan sembelihan dan sebagainya. Sebahagian fuqaha mengatakan:

 “Takutilah kalian tempat-tempat yang boleh mendatangkan tohmahan orang.”

Kata Imam al-Ghazali (w.505) rahimahullah:

“Hendaklah seseorang itu bertaqwa (menjaga dirinya) pada tempat-tempat yang boleh menimbulkan tohmahan bagi memelihara hati manusia daripada berburuk sangka dan lidah mereka daripada menyebut perkara yang mengaibkan. Ini kerana sekiranya dengan ucapan tersebut menyebabkan mereka bermaksiat kepada Allah, maka orang yang menyebabkan juga adalah bersekutu melakukan dosa tersebut.” Rujuk Ihya Ulum al-Din (2/201).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN