Johor menikmati pembangunan ekonomi yang pesat sepanjang berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

PRN Johor: Prestasi semasa beri kelebihan kepada BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) membuka lembaran baharu kepada landskap politik Johor yang kini dilihat semakin kompetitif antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pemerhati politik melihat BN mempunyai kelebihan tertentu untuk kekal berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, faktor kestabilan politik yang dinikmati Johor sejak beberapa tahun lalu memberi kelebihan kepada BN berbanding lawan.

Katanya, rakyat secara umumnya dilihat menerima pentadbiran kerajaan negeri ketika ini kerana tidak banyak isu besar yang menggugat keyakinan mereka terhadap pentadbiran semasa.

“Kita lihat suasana politik Johor agak stabil dan lancar. Tiada pergolakan politik besar. Keadaan itu membolehkan pelaksanaan dasar dan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata, rekod kemenangan besar BN pada 2022 boleh menjadi petunjuk parti itu masih mempunyai asas sokongan yang kukuh terutama pengundi tradisi.

Namun, katanya, faktor kadar keluar mengundi akan menjadi penentu utama keputusan PRN kali ini.

Katanya, jika kadar keluar mengundi bawah 55 peratus, BN dilihat meiliki peluang lebih besar untuk mempertahankan kerajaan negeri.

“Secara sejarahnya, PRN atau PRK sukar mencapai kadar keluar mengundi yang sangat tinggi seperti Pilihan Raya Umum (PRU). Jika PRN Johor kali ini melepasi 70 peratus, ia boleh dianggap sesuatu yang luar biasa,” ujarnya.

Jelasnya, kadar keluar mengundi rendah lazimnya memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai jentera akar umbi lebih tersusun dan pengundi teras yang setia.

BN dilihat masih mempunyai kelebihan dari sudut kekuatan jentera di peringkat bahagian, cawangan dan pusat daerah mengundi yang mampu menggerakkan penyokong mereka keluar mengundi.

Mazlan berpandangan pergolakan dalam parti-parti lawan turut berpotensi memberi kelebihan kepada BN.

Katanya, perpecahan dalam blok pembangkang dan parti lawan dilihat boleh menyebabkan berlakunya pemecahan undi terutama di kawasan marginal yang dimenangi dengan majoriti kecil.

“Kewujudan parti-parti baharu atau perbezaan pendirian dalam parti tertentu boleh menyebabkan berlaku peralihan undi. Ini mungkin memberi kesan kepada prestasi PH dan PN. Di kawasan marginal, pergerakan kecil undi pun boleh menentukan kemenangan atau kekalahan seseorang calon,” katanya.

Beliau turut melihat perkembangan dalam PN yang dikatakan berdepan isu dalaman dan persaingan pengaruh antara parti komponen boleh menyebabkan sebahagian pengundi tradisi beralih arah.

Tambahnya, sekiranya berlaku pemecahan undi Melayu akibat persaingan beberapa parti, maka BN berpotensi menjadi penerima manfaat terbesar berdasarkan kekuatan sokongan tradisinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN