PETALING JAYA – Pemergian adiguru kraf songket tenun Terengganu, Allahyarham Zainab Mamat disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kraf negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Allahyarham merupakan tokoh yang amat dihormati dalam bidang kraf tradisional khususnya seni tenunan songket Terengganu.
“Takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham Zainab Mamat, adiguru kraf songket tenun Terengganu yang amat dihormati.
“Jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memelihara, mengangkat dan memartabat kraf songket tenun akan sentiasa dikenang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan kenalan rapat, malah turut memberi kesan besar kepada industri kraf negara yang kehilangan seorang tokoh penting dalam usaha memelihara warisan seni tradisional.
“Pemergian beliau satu kehilangan besar kepada dunia kraf negara, khususnya dalam usaha memastikan khazanah budaya bangsa terus hidup dan dihargai oleh generasi seterusnya,” ujarnya.
Fahmi turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham merupakan antara tokoh kraf tersohor negara yang dikenali kerana kepakaran serta komitmennya dalam memelihara seni tenunan songket Terengganu.
Seawal usia tujuh tahun, beliau sudah melibatkan diri dalam bidang tersebut selain memainkan peranan penting dalam memastikan warisan tenunan tradisional terus berkembang dan diwarisi generasi muda. – KOSMO! ONLINE














