KUALA TERENGGANU – Kesatuan Eropah (EU) melihat Terengganu sebagai antara negeri berpotensi menjadi rakan strategik dalam pembangunan ekonomi hijau, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pembangunan modal insan menerusi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, potensi dimiliki negeri ini mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan negara-negara anggota EU khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan pembangunan mampan.
Beliau berkata, lawatan delegasi EU ke Terengganu bertujuan melihat sendiri kekuatan dimiliki negeri berkenaan selain memperkukuhkan hubungan sedia ada antara Malaysia dan EU di peringkat kerajaan negeri.
“Malaysia merupakan antara rakan dagang terpenting EU di rantau ini dengan hubungan perdagangan merangkumi sektor semikonduktor, elektronik, peralatan industri serta bahan mentah kritikal.
“Terengganu pula mempunyai kekuatan dalam industri petrokimia selain berpotensi besar dalam ekonomi hijau, pendigitalan dan teknologi baharu yang boleh diterokai bersama syarikat-syarikat Eropah,” katanya di Wisma Darul Iman, dk sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














