JEMPOL – Jeritan meminta tolong merungkai insiden menyayat hati seorang wanita dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di taman perumahan di Bahau di sini
kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi itu, seorang wanita berusia 63 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di hadapan rumahnya dipercayai dibunuh anak lelakinya setelah mereka berdua bergaduh.
Menurut jiran, sejurus mendengar suara meminta bantuan tersebut dia segera keluar dari rumah bagi melihat kejadian yang berlaku sebelum ternampak seorang wanita terbaring.
“Saya nampak wanita berkenaan sudah terlentang di kawasan rumahnya. Anaknya pula dilihat duduk di atas ibunya. Saya tidak berani dekat sebab anaknya (suspek) berbadan besar dan tinggi.
“Jiran yang lain juga cemas dan cuba meminta bantuan penduduk lain sebelum polis serta ahli keluarga datang ke sini. Anaknya pada ketika itu tak bangun-bangun dan masih duduk di atas ibunya,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Ceritanya, kejadian itu sangat mengejutkan mereka dan wanita yang maut dikenali sebagai seorang yang baik serta peramah.
“Wanita itu sangat baik dan setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dia akan menjual kerepek ngaku.
“Tidak percaya kes ini, tahu-tahu si ibu sudah terbaring di halaman rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, wanita berusia 63 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di halaman rumah di Bahau di sini.
Menurutnya, suspek merupakan anak pertama dan orang kelainan upaya (OKU) mental.
“Dua beranak itu dipercayai bertengkar serta berlaku pergelutan, namun tiada kecederaan disebabkan senjata tajam.
“Punca pergaduhan dan kematian bagaimanapun masih lagi disiasat.
“Suspek berusia 33 tahun kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Julai ini bagi disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.














