fbpx
Zaki Yamani kesal apabila wujud dakwaan segelintir pihak yang menuduh ibunya, Fatimatuzahra Samat mengongkong kehidupan. - SYAKIR RADIN & INSTAGRAM ZAKI

‘Tanpa doa ibu, takkan tercipta pun Zaki Yamani’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi Zaki Yamani kesal apabila wujud dakwaan segelintir pihak yang menuduh ibunya, Fatimatuzahra Samat mengongkong kehidupan termasuk berkaitan kerjaya seninya.

Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, berkata, keberadaan ibunya dalam kehidupannya sangat diperlukan terutama dalam mendapatkan nasihat hal-hal berkaitan.

“Saya kesal sebab hakikatnya sangat memerlukan ibu. Buat masa sekarang, saya pun masih lagi baru dalam industri.

“Saya sangat terkilan sebab dakwaan sebegitu mencalarkan nama baik ibu yang sudah banyak membantu. Tanpa dia dan doa-doanya, saya tidak akan berada di sini atau tak tercipta pun nama Zaki Yamani.

“Pada fasa umur 20-an ini, kita biasanya suka memberontak. Jadi saya memang memerlukan sosok seorang ibu untuk menjaga saya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sidang media Hotlink Geng Bijak Berbelanja di sini, hari ini.

Dalam masa sama, dia juga menafikan dakwaan perlu meminta izin daripada ibunya sebelum melakukan banyak perkara lain.

“Bukanlah setiap benda perlu minta izin atau nasihat ibu namun ada banyak hal lain sekarang iaitu dakwaan saya bercinta yang memerlukan nasihat supaya tingkah laku tidak berlebih-lebihan dalam media sosial.

“Jadi, saya perlukan seseorang untuk membimbing apa yang saya buat. Ibu banyak membantu saya terutama berkaitan jadual dan tawaran persembahan.

“Dia adalah pengurus saya. Tanpa dia, tidak mungkin saya boleh menyanyi di pentas yang besar,” jelasnya.

Dia juga memberitahu semua keputusan jadual persembahan diserahkan sepenuhnya kepada ibunya.

“Ibu yang akan tetapkan setiap persembahan. Dia hanya akan beritahu saya yang saya ada tawaran dengan pihak sekian-sekian.

“Tugas saya pula adalah untuk mempersiapkan diri agar sentiasa berada dalam keadaan sedia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zaki juga merupakan salah seorang selebriti yang terlibat dengan Siri Travelog: Hotlink Geng Bijak Berbajet yang mula bersiaran pada 29 Julai depan di TV3.

Selain Zaki, program yang dihoskan Kamal Adli itu turut menampilkan Nabila Razali, Izzue Islam, Siti Saleha dan Hael Husaini sebagai tetamu undangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN