fbpx
STEVEN (tengah) menyantuni usahawan pada Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS di Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Kuskop perkasa semua usahawan, salur RM60 bilion kepada PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan terus memperkasa usahawan tanpa mengira kaum bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu bertahan, malah berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, peruntukan pembiayaan sebanyak RM60 bilion akan disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun ini.

Kata beliau, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu akibat perang perdagangan, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik, kerajaan mahu memastikan setiap usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.

“Misi saya bukan untuk membantu usahawan Melayu, Cina atau India semata-mata, tetapi menjadikan perniagaan rakyat Malaysia lebih hebat. Jika kita mahu menang dalam persaingan global, kita perlu menang sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS, di sini hari ini.

Menurutnya, kementerian meningkatkan peruntukan pelbagai dana pembiayaan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional dan Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 bagi memastikan lebih ramai usahawan daripada semua kaum mendapat akses kepada modal untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau pada masa sama mengumumkan had maksimum pembiayaan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM100,000.

Sementara itu, Pengerusi SME Corp., Datuk Teng Chang Khim berkata, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan hampir 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini terdiri daripada PMKS.

“Ia menyumbang secara signifikan kepada peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi dan pembangunan komuniti. Di Kedah, dianggarkan terdapat 49,663 PMKS yang merangkumi 4.6 peratus daripada keseluruhan PMKS di Malaysia.

“Kedah mempunyai kelebihan dalam sektor agromakanan, pemprosesan makanan, teknologi pertanian, pembuatan serta perkhidmatan. Potensi ini membuka ruang kepada PMKS untuk meningkatkan nilai tambah produk, memperkukuh daya saing serta memperluaskan pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, sepanjang pelaksanaan RMK12 iaitu dari Januari 2021 hingga Disember 2025, SME Corp. Malaysia telah membantu 8,904 PMKS di Kedah melalui pelbagai program pembangunan perniagaan.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak RM23.1 juta telah disalurkan kepada PMKS di Kedah, mewakili 4.3 peratus daripada keseluruhan penyaluran program SME Corp. Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN