KUALA LUMPUR – Hasrat untuk membina rumah tangga tidak kesampaian, pelakon Lorenzo Irmann mengakui pernah terlalu hanyut dalam percintaan sebelum ini.
Namun, Lorenzo atau nama penuhnya Lorenzo Irmann Farhan Caddeo Paolo, 22, percaya semua yang terjadi ada hikmah terutama memandangkan usianya yang masih muda.
“Memang pernah merancang untuk berkahwin. Waktu itu kami terlalu ‘bucin’ (budak cinta) dan meletakkan cinta sebagai keutamaan.
“Tapi bila saya fikir balik tentang masa depan, saya rasa terlalu awal dan saya masih muda, baru umur 22 tahun,” katanya pada majlis tayangan perdana drama Cinta Dalam Sekam dan What’s Next On Viu, semalam.
Meskipun melalui episod patah hati, pelakon drama The Secret itu memilih untuk memberikan fokus penuh terhadap perkembangan kerjaya seni yang baru bermula.
“Bagi saya, merancang itu penting, tetapi bila tak jadi, saya buat keputusan untuk fokus pada kerja.
“Nama saya pun baru nak naik, masa itu saya baru habis belajar dan terus bekerja. Jadi saya rasa lebih baik fokus pada kerjaya dulu daripada terus berkahwin.
“Tak ada siapa tinggalkan siapa. Itu keputusan bersama. Kami sama-sama bersetuju untuk fokus pada kerja,” ujarnya.
Disoal sama ada trauma dalam percintaan, Lorenzo menolak perkara tersebut sambil mengutamakan tentang kehidupan peribadi.
“Tak ada trauma. Sekarang fokus kerja saja.
“Pernah mencari jodoh sebelum ini, tapi tak menjadi.
“Sekarang kalau ada masa, saya pergi gim dan beri tumpuan kepada kerja,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Lorenzo membintangi drama terbaharu Viu berjudul Bidadari Tanpa Syurga terbitan Global Film Station Sdn. Bhd.
Selain Lorenzo, drama arahan Jamal Khan itu turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Nadiya Nisaa dan Syad Mutalib. – KOSMO! ONLINE














