KULIM – Kegembiraan sekumpulan pengunjung mandi-manda di Sungai Sedim, Karangan di sini bertukar tragedi apabila tiga mangsa lemas selepas dihanyutkan kepala air petang ini.
Dalam kejadian itu, lima mangsa dikatakan hanyut dengan tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi terselamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.27 petang.
“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan menerusi talian MERS 999 yang memaklumkan berlaku fenomena kepala air di pusat peranginan air terjun Sedim Rainforest Resort.
“Pemanggil memaklumkan terdapat mangsa dihanyutkan arus deras dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi,” katanya hari ini.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pihaknya menerima maklumat terdapat seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dipercayai dihanyutkan arus deras di kawasan puncak bukit.
“Pasukan bomba melakukan pemantauan di puncak bukit dipercayai lokasi mangsa hilang selain operasi pencarian di kawasan sekitar,” ujarnya.
Hasil maklumat orang awam, ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam keadaan terapung di pertengahan bukit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang secara tiba-tiba dan siren kecemasan di tempat kejadian mengalami kerosakan.
“Seorang mangsa yang ditemukan terselamat adalah kanak-kanak lelaki berusia empat tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE














