PETALING JAYA – Misteri kehilangan seorang pemuda Malaysia akhirnya terungkai apabila disahkan ditahan polis Hong Kong sejak 25 Jun lalu kerana disyaki terbabit dalam dua kes penipuan.
Perkara itu disahkan selepas bapanya, dikenali sebagai Chen, menghadiri Kementerian Luar Negeri sejurus selesai sidang akhbar semalam bagi mendapatkan maklumat mengenai kehilangan anaknya.
Tindakan itu dibuat atas nasihat Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, bagi mengesahkan sama ada anak lelaki berkenaan ditahan pihak berkuasa Hong Kong.
Menurut Michael, sebaik tiba di Kementerian Luar Negeri, Chen menghubungi pembantunya bagi mendapatkan bantuan sebelum pegawai kementerian mengesahkan anaknya telah ditahan polis Hong Kong pada 25 Jun lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, pemuda itu disyaki terlibat dalam dua kes penipuan dan kini sedang membantu siasatan polis Hong Kong.
“Bagaimanapun, memandangkan siasatan masih berjalan, ahli keluarga masih belum dibenarkan bertemu dengannya.
“Sekurang-kurangnya kini keluarga sudah mengetahui keberadaan mangsa dan tidak lagi bimbang dia diperdaya sindiket jenayah atau dijual ke pusat penipuan di luar negara.
“Walaupun sedang disiasat polis Hong Kong, keluarga sekurang-kurangnya lega kerana mengetahui dia berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap pemuda itu memberikan kerjasama penuh kepada polis Hong Kong dan yakin pihak berkuasa di sana akan mengendalikan siasatan secara adil mengikut undang-undang.
Katanya, golongan muda diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan, percutian percuma atau janji memperoleh wang dengan mudah.
Tambah beliau, mereka juga tidak seharusnya membawa bagasi, bungkusan atau kad bank milik individu tidak dikenali serta menguruskan wang daripada sumber yang mencurigakan kerana berisiko dieksploitasi sindiket jenayah. – KOSMO! ONLINE














