KUALA LUMPUR – Sebarang kelulusan pembinaan atau pewartaan surau Jumaat akan dibuat bergantung kepada keperluan sesuatu kawasan, termasuk jumlah jemaah dan jarak dengan masjid berhampiran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan tidak menetapkan sasaran tertentu bagi menambah bilangan surau Jumaat, sebaliknya setiap permohonan akan dinilai berdasarkan beberapa faktor.
“Sekiranya ada masjid yang berdekatan, tidak perlulah diwujudkan surau Jumaat.
“Tetapi jika masjid sudah melimpah dengan jemaah dan lokasinya jauh dari masjid berhampiran, memang kita akan cuba usahakan sebaiknya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Surau Jumaat Al-Huda, Taman Intan Baiduri, di sini hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengenal pasti lokasi yang memerlukan kemudahan tersebut berdasarkan maklum balas dan permintaan penduduk setempat.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Surau Jumaat Al-Huda merupakan surau Jumaat ke-15 yang diluluskan pada tahun ini.
Katanya, ketika ini Malaysia mempunyai kira-kira 7,000 masjid berdaftar, lebih 18,000 surau dan melebihi 1,000 surau Jumaat di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














