JOHOR BAHRU – Seramai 11 individu termasuk seorang majikan didakwa terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga asing yang ditemui berlumuran darah di kaki lima sebuah bangunan kedai di Taman Universiti, Skudai pada 28 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan lapan warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara bersama Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor pada 5 dan 6 Julai lalu.
Menurut beliau, suspek berusia antara 26 hingga 41 tahun itu diberkas di sekitar Skudai, Taman Bukit Indah dan Iskandar Puteri selain di Ayer Keroh, Melaka serta Ampang, Kuala Lumpur.
“Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk majikan mangsa yang berusia 36 hingga 37 tahun.
“Turut ditahan lapan warga asing berusia antara 26 hingga 41 tahun yang merupakan rakan sekerja serta kenalan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 33 tahun pada mulanya ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima bangunan berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia hari ini selepas lapan hari bertarung nyawa, menyebabkan polis mengklasifikasikan semula siasatan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Radin Ramlan berkata, polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.
“Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
“Kesemua suspek direman selama 12 hari. Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini,” katanya.
Beliau berkata, suspek utama iaitu seorang lelaki warga asing akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, tiga suspek tempatan pula akan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana dipercayai melupuskan bahan bukti, manakala tujuh lagi warga asing akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan berkaitan imigresen.-KOSMO! ONLINE















