KOTA KINABALU – Kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ia susulan selepas mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mereput di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 10.38 malam pada semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di kawasan berkenaan sebelum identitinya disahkan sebagai Nurjilya Abdullah, 11, menerusi pengecaman pakaian oleh ibu mangsa.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki berpunca daripada hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
“Sehubungan itu, kes yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai orang hilang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, bertindak atas risikan dan siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta mengumpul bukti berkaitan,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan La Paula Abd. Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, Nurjilya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar pada Isnin lalu sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu mengeluarkan hebahan orang hilang bagi mengesannya. – KOSMO! ONLINE














