fbpx

Ahli perniagaan miliki Phd didakwa tipu lelaki hingga rugi RM1.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chandrasegaran (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. -Foto oleh IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang ahli perniagaan berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret, di sini atas lima pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen dan memperdaya seorang lelaki menyertai skim pelaburan tidak wujud sehingga kerugian RM1.3 juta, antara enam hingga tujuh tahun lalu.

Tertuduh, G. Chandrasegaran,57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Aini Yusof dan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.

Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menerima wang deposit berjumlah RM820,000 tanpa suatu lesen sah daripada seorang lelaki berusia 53 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Teratai Indah, di sini antara jam 10.33 pagi hingga 10.44 pagi, pada 28 Disember 2017.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta yang sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Chandrasegaran turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan memperdaya mangsa yang sama untuk menyertai pelaburan tidak wujud.

Berdasarkan pertuduhan, mangsa mengalami kerugian RM475,000 apabila menyerahkannya sendiri kepada tertuduh menerusi beberapa pindahan wang ke dalam akaun bank milik tertuduh, antara 28 Januari 2018 hingga 5 Mac 2018.

Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Qatrin Nada memohon mahkamah mengenakan jaminan RM100,000 terhadap tertuduh dengan beberapa syarat tambahan manakala Nurameera meminta jaminan RM10,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jaminan minima dengan alasan tertuduh yang menghidap asma dan diabetes perlu kerap menjalani pemeriksaan kesihatan selain perlu menanggung isteri serta empat anak berusia enam hingga 27 tahun.

Hakim Nor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin selain diminta melapor diri di balai polis berhampiran dengan kediaman pada 15 haribulan setiap bulan serta dihalang untuk mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, Majistret Siti Zulaikha pula menetapkan jaminan RM32,000 bagi semua pertuduhan termasuk tertuduh dikenakan syarat tambahan sama seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen.

Kes akan disebut semula pada 26 April depan untuk serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI