ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres yang tular kerana memandu secara berbahaya ketika membawa 13 penumpang dari Perak ke Johor Bahru, minggu lalu direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Alor Gajah, Dr. Teoh Shu Yee terhadap suspek yang berusia 53 tahun.
Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Suspek sebelum ini ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada pukul 12.10 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 15 April lalu kira-kira pukul 3.50 pagi ketika bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menuju Johor Bahru dengan membawa 13 penumpang.
“Rakaman video kejadian itu tular di media sosial pada 16 April sekitar pukul 1.05 petang, dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
“Dalam soal siasat awal, suspek mengaku mengambil syabu sebelum memulakan perjalanan pada hari kejadian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan suspek mempunyai pengalaman kira-kira 10 tahun sebagai pemandu bas ekspres dan merupakan seorang duda.
Terdahulu, Kosmo! pada 16 April melaporkan polis sedang mengesan pemandu bas terbabit selepas rakaman video berdurasi kira-kira satu minit 20 saat tular, memaparkan lelaki itu memandu dalam keadaan berbahaya termasuk menyandar ke belakang dan memegang stereng dengan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.- KOSMO! ONLINE














