JEMPOL – Seorang suri rumah maut selepas empat hari bertarung nyawa akibat terbabit dalam nahas di jalan besar Felda Palong 4, 5, 6 Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kemalangan pada pukul 8.30 pagi berlaku ketika mangsa berusia 56 tahun menunggang motosikal jenis Honda Y100 dari arah Palong Timur menuju ke perkampungan Palong 5.
“Ketika dia hendak masuk simpang kanan, tiba-tiba datang sebuah motosikal jenis Yamaha Avantiz yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 32 tahun dari arah Palong Timur telah merempuhnya.
“Ekoran itu mangsa cedera pada kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah manakala penunggang Yamaha Avantiz hanya luka di bibir. Namun pada pukul 2 petang tadi, suri rumah berkenaan disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta saksi menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Amirul Syafiq Mohd. Yusof di talian 016-234 8669 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.- KOSMO! ONLINE














