fbpx
ILLI ALIA merupakan Pengasas Illi Beauty Spa Salon KL yang terletak di ibu negara.

Iltizam Illi Alia wujudkan salon Muslimah selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik perniagaan yang berjaya, pasti tersimpan pelbagai kisah suka dan duka yang tidak diketahui ramai. 

Ada terpaksa mengorbankan masa muda, berdepan pengkhianatan insan dipercayai, malah tidak kurang juga yang hampir mengalah sebelum berjaya berdiri teguh.

Bagi Pengasas Illi Beauty Spa Salon KL, Illi Alia Azman, 29, setiap cabaran yang ditempuhi menjadi batu loncatan untuknya membina sebuah jenama yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

Berbekalkan lebih lapan tahun pengalaman dalam industri rambut dan pengurusan salon, dia menubuhkan Illi Beauty Spa Salon KL pada tahun 2021.

Dia menyimpan impian mewujudkan sebuah salon khas wanita yang menawarkan perkhidmatan berkualiti dalam suasana selesa, selain menjaga privasi pelanggan.

“Saya sebenarnya memang minat dan sudah pasang impian untuk memiliki salon sendiri sejak berada di kampus lagi. 

“Namun atas nasihat bapa yang juga seorang ahli perniagaan, saya memilih untuk bekerja terlebih dahulu kerana pengalaman merupakan ‘guru’ terbaik sebelum bergelar usahawan,” katanya kepada K-Wanita. 

Sepanjang tempoh itu, Illi Alia mendalami pelbagai ilmu termasuk teknik pewarnaan dan rawatan rambut, konsultasi pelanggan, pengurusan operasi, pemasaran serta pembangunan pasukan sebelum mengambil keputusan membuka perniagaan sendiri.

Menurutnya, matlamat utama bukan sekadar membuka sebuah salon, sebaliknya menyediakan pusat rawatan rambut yang mengutamakan ketelusan harga, tanpa caj tersembunyi, selain memberi keselesaan kepada pelanggan Muslimah.

“Mereka juga boleh mendapatkan rawatan dalam suasana yang lebih selesa sambil menjaga aurat dan privasi,” katanya. 

Antara cabaran paling besar dihadapi  oleh Illi Alia adalah untuk memastikan perniagaan terus bertahan ketika jualan menurun sedangkan kos operasi semakin meningkat.

ILLI ALIA menimba ilmu perniagaan dengan bekerja terlebih dahulu selama beberapa tahun.

Lebih menyedihkan, dia juga pernah menjadi mangsa ulasan Google yang tidak benar dan negatif daripada bekas pekerja, selain berdepan isu pekerja yang membawa lari pelanggan serta menyalahgunakan wang syarikat.

“Semua pengalaman itu benar-benar menguji tahap kesabaran saya. 

“Dari situ saya belajar membina sebuah perniagaan bukan sekadar mencari keuntungan. Sebaliknya, ia perlu mempunyai sistem dan pasukan yang berintegriti,” katanya.

Tambah Illi Alia, cabaran terbesar dalam industri salon adalah mendapatkan tenaga kerja yang benar-benar mahir dan amanah.

Meskipun diuji dengan pelbagai dugaan, ibu muda itu tidak pernah berputus asa kerana sentiasa menjadikan orang tuanya serta usahawan berjaya sebagai sumber inspirasi.

Sebagai pemilik syarikat, Illi Alia menguruskan hampir keseluruhan operasi salon termasuk kewangan, pemasaran, latihan kakitangan, pembangunan jenama dan kawalan kualiti. 

Malah, dia turut turun padang melakukan konsultasi kepada pelanggan bagi memastikan setiap hasil kerja memenuhi standard ditetapkan.

Sebelum memberi tumpuan kepada industri kecantikan, dia turut menimba pengalaman dalam perniagaan produk, makanan dan minuman serta membantu menguruskan stesen minyak milik keluarga.

Kini, Illi Beauty Spa Salon KL bukan sahaja dipercayai oleh pelanggan di seluruh Malaysia dan Singapura, malah turut dikunjungi pengunjung dari pelbagai negara.

“Kami tidak bersaing melalui harga murah semata-mata. Apa yang kami mahu bina adalah kepercayaan pelanggan. 

“Bagi saya, pelanggan bukan sekadar datang mencantikkan rambut, tetapi mahu pulang dengan keyakinan baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN