TUMPAT – Seorang instruktur atau guru sekolah memandu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan kepada seorang remaja yang sedang belajar memandu pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Azwani Husin, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan bangkitan marah dengan menyatakan ayat ‘gerei la, kalau nak tiyok, tiyok kat paha saya’ (geramlah, kalau nak menangis, menangis kat paha saya) terhadap seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dengan mengetahui perbuatan tersebut mungkin menyebabkan kesalahan merusuh dilakukan.
Kesalahan itu dilakukan di Akademi Memandu SKMS Berangan di sini kira-kira pukul 10 pagi pada 23 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 153 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshalizawati Muhammad.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














