KLANG – Taktik sindiket menyeleweng diesel di sebuah premis di Kampung Pendamar di sini terbongkar selepas lokasi itu digempur pihak berkuasa dalam serbuan lewat malam, kelmarin.
Operasi kira-kira pukul 10 malam yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Pasukan Polis Marin (PPM) turut membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia lingkungan 40-an.
KPDN Selangor berkata, pemeriksaan di premis terbabit menemukan pelbagai peralatan dan kemudahan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyimpanan serta pemindahan diesel secara tidak sah.
Menurutnya, pasukan operasi turut menyita tiga buah lori, 21 unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang dipercayai digunakan bagi menyimpan bahan api disyaki diesel.
“Turut disita adalah beberapa peralatan lain termasuk kad fleet.
“Hasil pemeriksaan juga menemukan lima tangki IBC yang mengandungi kira-kira 4,100 liter cecair disyaki diesel sebelum dilak dan disita sebagai bahan bukti,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tambah KPDN Selangor, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing yang berada di lokasi kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan.
Ujarnya, nilai rampasan melibatkan diesel adalah kira-kira RM16,000 manakala rampasan keseluruhan dianggarkan melebihi RM300, 000.
“Kesemua barang rampasan telah dihantar ke Stor Eksibit KPDN Selangor untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE














