JOHOR BAHRU – Seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di dalam sebuah surau di Taman Daya di sini, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pemandu pada pukul 2.40 petang.
Menurut beliau, saksi menemui bayi berkenaan ketika hadir ke surau untuk menunaikan solat kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum menghubungi Balai Polis Setia Indah dan Hospital Sultan Ismail untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 20-an yang bertindak meletakkan bayi tersebut di kawasan berhampiran tabung surau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi lelaki itu berada dalam keadaan baik, stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323,” katanya.-KOSMO! ONLINE














