TAPAH – Berat badan pendaki wanita yang ditemukan selamat pada Sabtu minggu lalu selepas hilang dua minggu di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, telah susut 10 kilogram (kg).
Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, penyusutan berat badan ibu kepada dua anak itu kerana bergantung pada sumber makanan yang terhad dalam hutan.
“Untuk yang tepat, berapa berat dia dah turun (Jaslinda) dah turun kita tidak boleh cakap tetapi agak berbeza semasa pergi mendaki dan ditemui.
“Tetapi mungkin atau hampir 10 kilogram (kg) kita tidak timbang secara konsisten. Untuk sokongan emosi, staf kami sentiasa memantau dan saya sendiri juga bertanya sama dia dapat rehat, tidur dan sebagainya, Alhamdulillah positif,” katanya kepada pemberita di Hospital Tapah di sini hari ini.
Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Mohd. Azlan Helmi turut melawat Jaslinda di hospital berkenaan.
Media pada Sabtu, minggu lalu melaporkan Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ditemui oleh Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh setelah operasi SAR terhadapnya dilakukan selama dua minggu. – KOSMO! ONLINE














