PERMAINAN kriket merupakan salah sukan berpasukan yang dimainkan di peringkat antarabangsa dengan menekankan strategi, ketahanan dan kerjasama.
Walaupun kurang popular di Malaysia, namun kriket semakin dikenali melalui aktiviti sekolah serta pendedahan kepada kejohanan di peringkat antarabangsa.
Untuk pengetahuan, sukan kriket dimainkan menggunakan pemukul (bat), bola keras kecil dan padang berbentuk bulat atau bujur.
Ia melibatkan dua pasukan yang bergilir-gilir sebagai pemukul dan pelontar, dengan fokus utama untuk mengumpul mata sebanyak mungkin sambil menyingkirkan pemain lawan melalui strategi serta ketepatan lontaran.
Bagi Ahmad Zubaidi Zulkifle, minatnya terhadap kriket timbul selepas dia mendapati permainan itu sangat unik dan tidak pernah dilihat di kampungnya.
“Saya mula mengenali sukan kriket ketika berusia lapan tahun dan bermain secara aktif ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Klang, Selangor.
“Kebanyakan rakyat Malaysia keliru antara kriket dengan baseball dan softball, sedangkan ia sangat berbeza.
“Tetapi sukan ini sangat terkenal di peringkat dunia dan pasukan kebangsaan kita juga dikenali oleh negara luar,” katanya.
Kini, pemuda berusia 26 tahun itu memegang jawatan sebagai jurulatih pembangunan di Pusat Pembangunan Kriket Kebangsaan.
Katanya, dia bertanggungjawab untuk membangunkan program pemain muda agar pasukan negara sentiasa memiliki pelapis.
Dalam pada itu, ramai dalam kalangan pemain kriket kebangsaan turut mempunyai kerjaya tetap seperti guru, anggota tentera dan ahli perniagaan.
Sehubungan itu, jadual mereka agak fleksibel, namun tetap perlu menghadiri latihan lima hari seminggu yang meliputi kecergasan fizikal, latihan gimnasium dan kemahiran.
Bagaimanapun, semua pemain menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan mereka mampu melengkapkan jadual latihan yang ditetapkan.

“Sekarang saya telah mula bergiat dalam bidang kejurulatihan, jadi saya perlu bijak membahagikan masa antara latihan dan melatih pemain.
“Biarpun agak sukar, namun apabila saya mula melatih pemain muda, saya juga memperoleh ilmu baharu untuk memperbaiki diri sendiri.
“Tetapi saya kekalkan disiplin dan kemahiran dengan memastikan saya memukul 500 hingga 1,000 biji bola sehari bagi memantapkan lagi kemahiran,” katanya.
Dalam pasukan kebangsaan, anak jati Selangor itu memegang peranan sebagai pemukul pembuka.
Peranan tersebut menuntut Ahmad Zubaidi memulakan permainan dengan baik serta mengumpul mata awal buat pasukan, selain perlu berdepan lontaran pemain lawan yang paling mencabar.
Sementara itu, pencapaian terbaharunya adalah merangkul pingat emas di Sukan SEA di Thailand pada tahun lepas.
Namun fokus Ahmad Zubaidi kini adalah pada Sukan Asia yang akan berlangsung di Aichi Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
“Saingan di Sukan Asia memang dijangka sengit dengan kehadiran pasukan gergasi seperti India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh yang mempunyai reputasi besar dalam arena kriket di peringkat antarabangsa.
“Jadi, saya dan rakan pasukan perlu komited untuk memastikan kami turun ke padang menjalani latihan seperti yang dijadualkan, meskipun ada antara kami yang memiliki kerjaya lain,” katanya sebelum menutup bicara.














