fbpx
JOHARI ketika dihadapakan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat hari ini.

Berang tak kasi guna telefon, duda ugut nak sembelih ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Seorang bapa tunggal dua anak dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini selepas mengaku salah mengugut mahu sembelih ibu kandung serta menyimpan kabel curi, bulan ini.

Majistret Arun Noval Dass membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Johari Ramlan, 36, yang bekerja sebagai pengutip barang lusuh sebaik kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan kata-kata ‘mak, malam ini anak beranak habis saya sembelih’ terhadap ibu kandungnya berusia 74 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kelichap, Senggarang dekat sini pada pukul 9 pagi, 2 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dawai tembaga yang diperolehi dengan mencuri di sebuah rumah terbiar di Jalan Sungai Suluh Besar, Senggarang, 3.20 petang, 17 April lalu.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM1,000.

Menurut fakta kes, semasa berada di rumah, tertuduh mengugut memarahi ibunya kerana tidak berpuas hati wanita terbabit.

Ketika itu, tertuduh melontarkan kata-kata ‘aku nak sembelih satu keluarga’ terhadap ibu kandung yang menyebabkan wanita terbabit ketakutan.

Siasatan mendapati tertuduh bertindak demikian kerana marah selepas ibunya tidak membenarkannya menggunakan telefon.

Malah, kejadian terbabit turut disaksikan kakak ipar sebelum ibunya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN