PETALING JAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 12 Jun ini bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Jun lalu.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya menerima notis rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15.
“Mesyuarat Khas pada 12 Jun itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun bagi membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan,” katanya.
Sementara itu, SPR memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berhubung pembubaran DUN negeri itu seperti yang termaktub di bawah Fasal 56(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut SPR, berdasarkan Fasal 56(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, satu pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
“Sehubungan itu, satu Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh penting bagi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan akan diadakan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun malam tadi mengumumkan DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa hari ini.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi bagi memberi laluan kepada PRN. – KOSMO! ONLINE














