fbpx
Penglibatan anak-anak muda terutama pelajar-pelajar universiti dalam e-sukan semakin rancak menerusi penganjuran festival dan sebagainya.

Keserasian pasukan bawa kejayaan di pentas MLBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM landskap e-sukan yang semakin berkembang pesat, kemunculan pasukan kampus seperti Velocity Esports membuktikan bahawa bakat muda tempatan mampu mencipta impak besar, khususnya dalam arena Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Bermula daripada sekumpulan rakan yang bermain secara santai, pasukan ini kini melakar nama sebagai antara pencabar serius di pentas kompetitif.

Di sebalik kejayaan tersebut, terselit kisah disiplin, kepercayaan dan usaha berterusan yang menjadi tunjang kepada perjalanan mereka yang antaranya merupakan pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berkongsi dengan K-Remaja, Head of Esports Velocity Esports, Syahmi Firdaus Shahrol Nizam, 26, berkata, penubuhan pasukan Velocity Esports (VE) khususnya KPTM x VE bukanlah sesuatu yang dirancang secara besar-besaran pada awalnya.

Sebaliknya, ia lahir daripada minat yang sama dalam kalangan rakan sekelas.

“KPTM x VE sebenarnya adalah satu pasukan yang sentiasa bermain bersama, bukan sahaja untuk kejohanan universiti tetapi juga kejohanan lain,” katanya.

Untuk makluman, KPTM x VE dan juga UiTM x VE menjadi wakil Malaysia yang bertanding untuk kejohanan OPPO Hyper Legend Cup di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada 16 hingga 19 April lalu.

Sebanyak lapan pasukan berperingkat universiti dari empat negara Asia Tenggara akan berentap untuk merebut kejuaraan dengan hadiah terkumpul berjumlah AS$100,000 (RM395,250).

Hubungan yang terjalin sejak awal itu menjadi asas penting kepada pembentukan keserasian dalam pasukan.

Velocity Esports ditubuhkan dengan visi untuk membina sebuah organisasi esports yang lebih tersusun dan profesional.

Diasaskan oleh Ridhwan Yusoff pada 2023, VE memberi fokus kepada pembangunan pasukan kompetitif serta pembinaan sistem pengurusan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam industri e-sukan.

Selain itu, VE juga aktif dalam penganjuran kejohanan dan aktiviti e-sukan di peringkat komuniti dan institusi pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem esports serta membuka peluang kepada bakat baharu.

Tambahnya, keyakinan untuk melangkah lebih jauh mula terbina apabila mereka menyedari kekuatan tersendiri dalam corak permainan. Pasukan itu percaya bahawa mereka mempunyai ‘chemistry’ dan gaya permainan yang mampu membawa kemenangan termasuk dalam kejohanan seperti Hyper Legend Cup.

Kepercayaan tersebut akhirnya menjadi pemangkin kepada prestasi cemerlang mereka di pentas tempatan.

Mengulas tentang detik paling penting yang mengubah perjalanan pasukan, Syahmi menjelaskan bahawa kebangkitan semasa perlawanan menjadi titik tolak utama.

“Ketika itu kami ketinggalan 1-2, tetapi pasukan melakukan penstrukturan semula strategi, ‘reset’ mental dan merangka semula pelan permainan,” katanya.

Melalui analisis terhadap corak permainan lawan serta kepercayaan yang tidak berbelah bahagi antara satu sama lain, mereka berjaya bangkit dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-2.

Pasukan KPTM x VE bermula dengan permainan santai sesama rakan sekelas.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan hanya bergantung kepada kemahiran individu tetapi juga kepada keseimbangan antara gaya agresif dan disiplin.

Pasukan UiTM x VE yang dikenali dengan koordinasi tajam serta permainan agresif mengutamakan latihan yang tersusun dan hubungan dalaman yang kukuh.

“Kami memaksimumkan masa latihan secara efektif dan sentiasa mengadakan sesi ‘bonding’ untuk mengeratkan kepercayaan serta silaturahim,” jelasnya.

Apabila melangkah ke pentas antarabangsa, cabaran yang dihadapi juga semakin kompleks.

Justeru, Velocity Esports meningkatkan intensiti latihan dengan bantuan jurulatih berpengalaman, termasuk Coach Rexvin atau Kelvin Unting Kelly yang pernah mewakili jurulatih-jurularih MLBB di Sukan SEA Thailand 2025.

Selain itu, kerjasama latihan bersama pemain Arcade Esports turut memberi kelebihan kepada pasukan. Syahmi mengakui sesi latihan tersebut sangat mencabar kerana pihak lawan lebih dominan dan sering memberi tekanan tinggi sepanjang latihan, sekali gus membantu meningkatkan tahap permainan pasukan.

Dari segi persediaan mental dan taktikal, Syahmi yakin kedua-dua pasukan di bawah naungan VE berada pada tahap yang memuaskan. Katanya, sebelum kejohanan bermula lagi, para pemain sudah mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap pasukan dan latihan yang telah dilalui.

“Ia bertambah baik sedikit demi sedikit setiap hari dengan bantuan jurulatih dan pengurusan Velocity,” ujarnya.

Mengulas tentang kelebihan VE berbanding pasukan kampus lain, beliau berpandangan bahawa aspek persediaan menjadi faktor utama.

Ini termasuk jadual latihan yang lebih tersusun, sokongan barisan kejurulatihan, pengurusan isu kesihatan mental serta suasana pasukan yang positif.

Walaupun tidak menafikan wujudnya cabaran dalaman, Syahmi menegaskan bahawa pihak pengurusan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan setiap isu yang timbul.

Lebih daripada sekadar pertandingan, peluang mewakili Malaysia di pentas antarabangsa memberikan makna yang cukup besar kepada pasukan.

“Ia adalah impian menjadi kenyataan. Kami bangga bermain untuk lambang di dada dan sebagai wakil Malaysia,” katanya.

Dengan semangat tersebut, pasukan bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang disertai.

Melangkah ke hadapan, VE tidak mahu sekadar bergantung kepada kejayaan semasa.

Sebaliknya, organisasi itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh struktur dalaman serta meningkatkan prestasi pasukan secara konsisten.

Pada masa yang sama, mereka turut komited dalam membangunkan ekosistem e-sukan melalui penganjuran kejohanan dan aktiviti komuniti bagi menyokong kemunculan bakat baharu.

Dari sudut kompetitif, penyertaan dalam Mobile Legends: Bang Bang Academy League (MAL) dilihat sebagai langkah strategik dalam pembangunan pasukan.

Platform tersebut akan digunakan untuk menguji kestabilan prestasi, disiplin serta keupayaan pasukan sebelum melangkah ke tahap yang lebih tinggi.

Secara keseluruhannya, perjalanan VE mencerminkan bagaimana semangat berpasukan, latihan berterusan dan kepercayaan mampu membawa sebuah pasukan dari peringkat santai ke pentas kompetitif yang lebih besar.

Dengan visi jangka panjang untuk menjadi organisasi e-sukan yang mampan dan berdaya saing, VE dilihat berada di landasan tepat untuk terus mencipta kejayaan pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN