KENYATAAN bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengenai mana-mana individu yang berminat untuk jadi Presiden FAM perlu mendapat ‘lampu hijau’ Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim agak mengejutkan.
Pandangan tersebut disuarakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang menganggap kenyataan Mohd. Yusoff boleh mencetuskan lagi ‘spekulasi’ yang tidak diinginkan dalam kalangan peminat sukan tanah air.
“Saya terkejut apabila kenyataan seperti itu keluar daripada individu penting yang pernah duduk sebagai Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden FAM.
“Kenyataan ini jelas menunjukkan wujudnya budaya tidak sihat dalam organisasi itu (FAM). Selama ini mungkin orang luar tak nampak, tapi sekarang semuanya sudah terdedah. Orang sudah tahu apa sebenarnya yang berlaku (dalam FAM).
“Dalam mana-mana statut organisasi sukan termasuk FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), sudah jelas tidak boleh ada campur tangan pihak luar dalam menentukan kepimpinan.
“Jadi bila dikatakan perlu ‘restu’, itu memang tidak betul dan bertentangan dengan peraturan,” katanya.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zulakbal Abdul Karim pula melihat ada konteks dalam kenyataan Mohd Yusoff yang boleh diterima akal.
Menurut Zulakbal, walaupun kenyataan Yusoff itu mengundang reaksi negatif dalam kalangan netizen, mesej sebenar yang cuba disampaikan wajar difahami secara mendalam.
“Saya berpandangan Tunku Ismail adalah individu berpengaruh yang penting dalam ekosistem sedia ada.
“Namun, untuk bangkit daripada isu tadbir urus, kontroversi tujuh pemain asing dan masalah gaji tertunggak, individu yang mahu menggalas jawatan ini (Presiden FAM) perlu bijak menangani tekanan dari dalam dan luar,” katanya.
Selain daripada perlu mendapat sokongan Tunku Mahkota Ismail, Mohd. Yusoff turut menyeru agar mana-mana individu yang berminat merebut jawatan presiden tampil serius memulihkan reputasi FAM dan bukan sekadar ‘cuba nasib’.














