KETIKA kebanyakan orang memilih untuk berehat selepas seharian bekerja, suasana di taman rekreasi itu mula dipenuhi derapan langkah kaki. Di bawah cahaya lampu jalan yang samar-samar, seorang lelaki kelihatan tekun mengatur rentak larian.
Jam di pergelangan tangannya sesekali dijeling, manakala nafas yang teratur menjadi teman setia sepanjang perjalanan beberapa kilometer itu.
Bagi lelaki berusia 38 tahun itu yang hanya memperkenalkan diri sebagai Azmi, malam bukan sekadar waktu untuk melepaskan lelah.
Sebaliknya, ia adalah ruang peribadi yang memberinya ketenangan selepas kesibukan harian. Sejak hampir setahun lalu, rutin berlari pada waktu malam menjadi sebahagian daripada kehidupannya, bukan sahaja untuk menjaga kesihatan, malah sebagai cara mengimbangi tekanan dan mencari ketenangan fikiran.
“Bagi saya, berlari pada waktu malam ini suasananya lebih tenang.
“Suhu tidak terlalu panas dan minda saya terasa lapang apabila berlari berseorangan,” katanya yang kerap berlari di Taman KLCC kepada CitaRasa.
Azmi akan berlari sekurang-kurang dua kali seminggu, selepas waktu bekerja.
“Buat masa ini saya tidak menyertai mana-mana komuniti, hanya berlari secara santai untuk melepaskan tekanan.
“Isteri saya juga adakala akan turut serta jika dia berkelapangan, namun selalunya hanya saya seorang,” ujar Azmi.
Fenomena larian malam semakin menjadi budaya dalam kalangan masyarakat bandar dengan taman-taman rekreasi dan kawasan ikonik di Kuala Lumpur seperti Taman Tasik Titiwangsa, KLCC Park dan Putrajaya sering dipenuhi pelari selepas matahari terbenam.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja membantu membakar kalori dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular, malah menjadi medium untuk melepaskan tekanan selepas seharian bekerja.
Selain itu, laman web kesihatan healthline.com juga menyenaraikan larian malam membantu seseorang mendapat tidur yang lebih nyenyak, menurunkan tekanan darah dan menjadikan minda lebih tenang.

Trend larian malam di Kuala Lumpur terus berkembang seiring peningkatan kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat, khususnya dengan kemunculan beberapa komuniti larian di ibu kota.
Antaranya ialah Kuala Lumpur Night Runners (KLNR) yang cukup aktif menganjurkan larian komuniti pada setiap Selasa, 8 malam bertempat di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Ketua komuniti KLNR, Megat Zaim Zharif Megat Nawawi, 35, berkongsi bahawa KLNR ditubuhkan pada 2019 oleh Mohd. Rasidy Darmawan.
“Mohd. Rasidy merupakan pengasas dan juga presiden KLNR sehingga ke hari ini.
“Boleh dikatakan, larian sosial kini salah satu aktiviti sukan yang menjadi pilihan utama dalam meningkatkan kecergasan dan stamina individu kerana mudah untuk dibuat dan tidak terikat dengan keadaan tertentu.
“Ia boleh dilakukan secara bersendirian mahupun dalam kumpulan. Kesemua program atau pun sesi larian KLNR juga adalah terbuka kepada awam dan boleh disertai secara percuma, bertempat di Padang Merbok,” katanya.
Jelasnya, boleh dikatakan setiap kali sesi larian disertai antara 70 hingga 80 peserta tetapi pernah mencecah 300 peserta bagi satu malam.
Larian komuniti KLNR melibatkan jarak antara lapan hingga 10 kilometer. Setibanya di Dataran Merdeka yang merupakan lokasi mid-point, pelari kemudian akan berpecah mengikut pacer (pelari penentu) yang ditugaskan bagi membantu peserta mengikut kelajuan yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
Durasi larian juga tidak menentu, bergantung kelajuan masing-masing. Namun, satu sesi lazimnya mengambil masa antara 45 minit hingga dua jam.
Ujar Megat Zaim Zharif, pemilihan Padang Merbok sebagai lokasi larian pula adalah kerana kedudukannya di tengah ibu kota dan mudah untuk diakses oleh warga kota yang bekerja di sekitar Kuala Lumpur untuk memulakan larian selepas tamat waktu bekerja.
Menurut anak kelahiran ibu kota itu lagi, larian malam mempunyai tarikan sendiri kerana ada sesuatu yang mempesonakan apabila berlari sambil ditemani cahaya lampu di kawasan ibu kota.
“Selain itu, cuaca pada waktu malam juga lebih sejuk dan pelari tidak terdedah dengan terik matahari,” katanya.

Megat Zaim Zharif juga berpendapat bahawa aktiviti itu kian mendapat tempat dalam hati warga kota, bukan sekadar sebagai aktiviti kesihatan, tetapi juga sebagai ruang berkongsi ilmu.
“Saya melihat suasana berlari dalam komuniti ini seimbang daripada pelbagai aspek. Sebagai contoh, selain berlari bersama, para pelari juga saling berbincang dan berkongsi tip gaya hidup sihat, cara meningkatkan prestasi larian dan turut berkongsi tentang hobi atau minat yang lain.
“Malah ada juga antara pelari yang merancang aktiviti ‘runcation’ (running + vacation) sebagai cara untuk menambahkan lagi keseronokan dalam berlari,” katanya.
Bapa dua orang cahaya mata itu juga memaklumkan media sosial juga amat memberi impak kepada komuniti larian seperti KLNR dalam menarik lebih ramai penyertaan acara yang dianjurkan.
“Program KLNR memang mendapat sambutan luar biasa apabila tular di platform seperti Tiktok mahupun Instagram. Ia tidak hanya tertumpu kepada generasi muda sahaja kerana platform ini digunakan oleh pelbagai lapisan umur,” ungkapnya.
Penganjuran acara berkomuniti tidak datang tanpa cabaran. Megat Zaim Zharif berkata, keselamatan para pelari sentiasa menjadi keutamaan pihak KLNR.
Bagi setiap acara, terdapat komuniti yang ditugaskan untuk sentiasa peka dengan keadaan pelari, keadaan lalu lintas dan juga permukaan jalan yang memungkinkan kemalangan untuk berlaku.
Selain itu, terdapat juga cabaran untuk menyediakan aktiviti yang dapat disesuaikan mengikut kemampuan setiap pelari memandangkan setiap pelari berada pada tahap berbeza.
“Ada pelari baharu, ada yang sudah berpengalaman.
“Ini menjadikan kepuasan larian dan tahap intensiti setiap dari mereka berbeza. Kami perlu menyediakan pilihan laluan larian pada para pelari agar mereka boleh mengikut kemampuan masing-masing. Selain itu, cabaran lain tentunya adalah melibatkan cuaca. Apabila cuaca hujan lebat berserta kilat, aktiviti yang dirancang terpaksa ditangguhkan,” katanya.
Mengulas mengenai faktor yang mendorong semakin ramai golongan muda menyertai aktiviti larian malam, Megat Zaim Zharif berpendapat tekanan kehidupan moden dan pengaruh media sosial antara penyumbang utama kepada fenomena tersebut.
“Golongan muda hari ini berdepan pelbagai tekanan hidup, sama ada daripada aspek kerjaya, kewangan mahupun persekitaran sosial. Dalam masa yang sama, mereka juga sering membandingkan kehidupan sendiri dengan apa yang dipaparkan di media sosial, sekali gus boleh memberi tekanan kepada emosi dan mental.
“Melalui aktiviti fizikal bersama komuniti yang positif, mereka bukan saja dapat melepaskan tekanan, malah dapat membina keyakinan diri melalui pencapaian kecil yang dicapai dari semasa ke semasa. Komuniti larian juga mampu menjadi sistem sokongan yang mendorong mereka untuk terus optimis, bukan sahaja dalam larian tetapi juga dalam kehidupan.
“Selain itu, golongan muda berpeluang mendapatkan bimbingan, berkongsi pengalaman dan membina hubungan yang sihat sekiranya mereka bijak memanfaatkan platform komuniti seperti ini,” katanya mengakhiri bicara.














