PARIT BUNTAR – Pemegang kad UNHCR yang sah atau individu berdaftar di bawah Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia dan boleh dihantar pulang selepas menjalani hukuman jika disabitkan kesalahan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, pemegang dokumen berkenaan tidak kebal daripada undang-undang negara, termasuk bagi kesalahan jenayah dan kesalahan lain yang tidak berkaitan dengan imigresen.
“Kalau dia mencuri, dia salah. Kalau dia memandu kenderaan tanpa lesen, dia boleh diambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Tanjung Piandang di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, pemegang kad UNHCR yang sah ketika ini tidak boleh diambil tindakan di bawah Akta Imigresen bagi kesalahan tinggal lebih masa atau memasuki negara tanpa dokumen.
Namun, katanya, kerajaan kini melaksanakan pendaftaran sendiri menerusi DPP bagi membolehkan data serta status pelarian dikenal pasti dengan lebih terperinci.
Beliau berkata, proses itu merangkumi pengumpulan maklumat seperti nama, alamat, umur, jantina, kemahiran serta data biometrik termasuk cap jari, pengecaman wajah dan iris mata.
“Apabila kita melalui semua proses itu, kerajaan Malaysia membabitkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan yang akan membuat keputusan sama ada dia ini berstatus pelarian ataupun tidak,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, kira-kira 21,000 individu kini berada di depoh imigresen, termasuk kira-kira 4,000 yang dikenal pasti sebagai pelarian, namun status mereka masih perlu ditentukan melalui proses verifikasi.
Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai status pelarian, tiga kemungkinan terbuka iaitu ditempatkan di negara ketiga, dihantar pulang ke negara asal sekiranya keadaan kembali aman atau dihantar pulang selepas menjalani hukuman jika disabitkan melakukan kesalahan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE














