fbpx
WAN ROSDY merasmikan MAHA Pahang 2026 di Dataran Raub di Raub, hari ini.

Pahang kuasai agro, penyumbang terbesar pertanian nilai RM25 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Pahang mempunyai semua kekuatan yang diperlukan untuk menjadi peneraju negara dalam sektor pertanian, sekali gus menjadi ‘kuasa’ agro negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan rekod pada 2024, negeri ini merupakan penyumbang terbesar sektor pertanian negara dengan nilai pengeluaran melebihi RM25 bilion.

Menurut beliau, sebanyak 88 peratus daripada jumlah itu adalah daripada subsektor tanaman.

“Malah, berdasarkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar Pahang tahun lalu RM71 bilion, sektor pertanian menyumbang RM15.9 bilion iaitu sektor kedua tertinggi selepas perkhidmatan sebanyak RM37.3 bilion.

“Inilah kekuatan yang perlu kita pelihara dan kita bangunkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 di Dataran Raub, di sini hari ini.

Beliau berkata, antara potensi dan kekuatan Pahang termasuk Cameron Highlands yang menjadi kebanggaan negara sebagai pengeluar utama sayur-sayuran berkualiti bernilai RM3.6 bilion setahun.

Jelas Wan Rosdy, kelapa sawit pula terus menjadi penyumbang terbesar ekonomi pertanian negeri dengan nilai pengeluaran sebanyak RM14.18 bilion setahun.

“Apabila berada di Raub, saya percaya tidak keterlaluan saya katakan nama Raub menjadi jenama dunia. Apabila orang sebut musang king sebagai contoh mereka akan ingat Raub, apabila orang mengingati Raub, mereka sebenarnya sedang mengingati Pahang,” katanya.

Dalam pada itu beliau optimis sasaran bagi menjana jualan sebanyak RM1.3 juta dalam MAHA 2026 akan mampu dicapai berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini.

Katanya, program MAHA akan diteruskan sebagai program tahunan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa demi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini.

Ujarnya, pada tahun hadapan MAHA akan dianjurkan lagi di Lipis dengan peruntukan yang lebih banyak iaitu kira-kira RM3 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN