fbpx
WAN ROSDY melawat gerai pada majlis penutupan Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026, di Kuantan, hari ini.

Cadangan komposisi operasi ECRL tidak seimbang – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Cadangan operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang tidak seimbang antara pengangkutan kargo dan penumpang dapat dibimbangi tidak dapat memberikan manfaat signifikan kepada orang ramai.

Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu beliau berharap cadangan melibatkan komposisi 70 peratus pengangkutan kargo dan hanya 30 peratus penumpang dilihat semula agar lebih memberi manfaat kepada orang ramai.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada perkhidmatan tersebut benar-benar mampu menjadi alternatif kepada pengguna jalan raya, khususnya rakyat Pahang yang berdepan kesesakan teruk di laluan utama ke Lembah Klang.

“Dengan komposisi 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang, saya lihat ia tidak banyak membantu mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Malah kapasiti penumpang bagi setiap perjalanan juga dianggarkan hanya sekitar 400 orang dan jumlah itu melibatkan penumpang dari Kelantan, Terengganu serta Pahang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026, di sini, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, antara kebimbangan utama kerajaan negeri adalah kemungkinan rakyat Pahang sukar mendapatkan tiket kerana laluan tren bermula dari Kota Bharu, Kelantan sebelum melalui Terengganu.

“Apabila tren bermula dari Kelantan, sudah tentu permintaan tinggi di sana, diikuti Terengganu. Apabila sampai ke Pahang, kita bimbang rakyat negeri ini tidak mendapat tempat. Sebab itu saya suarakan perkara ini lebih awal sebelum rakyat bersuara dan saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan bagi memastikan keperluan rakyat Pahang diambil kira,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026, beliau berkata program berkenaan berjaya menghimpunkan ratusan usahawan daripada pelbagai sektor.

Katanya, penganjuran expo dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu memberi platform kepada usahawan tempatan memperluas jaringan perniagaan serta mengenal pasti peluang baharu.

“Sebanyak lima bengkel keusahawanan diadakan dengan penyertaan kira-kira 500 peserta, selain kehadiran sekitar 300 pengunjung yang terdiri daripada wakil daerah, persatuan dan institusi pengajian tinggi.

“Maklum balas yang diterima juga positif apabila ramai usahawan menyatakan perniagaan mereka berpotensi untuk terus berkembang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN