fbpx
CHONG WEI mengakui rombakan gandingan yang dilakukan untuk mendapatkan kombinasi terbaik bagi perancangan jangka panjang terutama LA2028.

Terpaksa pecah demi emas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sanggup mengambil risiko dengan memisahkan pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam usaha mencari kombinasi terbaik menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama barisan kejurulatihan yang melihat tempoh ketika ini sebagai waktu paling sesuai untuk menguji beberapa gandingan baharu atau scratch pair.

Menurutnya, BAM tidak mahu menunggu sehingga kelayakan Olimpik bermula sebelum membuat sebarang percubaan kerana ia boleh menjejaskan perancangan jangka panjang pasukan.

“Kita sudah berbincang dengan jurulatih, Rexy Mainaky dan Herry Iman Pierngadi. Kita perlu berani mencuba pasangan baharu dan tidak boleh tunggu sehingga saat akhir.

“Tahun depan adalah tahun penting kerana bermulanya kelayakan Olimpik. Kebiasaannya, ada pasukan yang hanya mahu mencuba kombinasi baharu apabila kelayakan sudah hampir bermula, tetapi bagi saya lebih baik kita lakukannya sekarang.

“Kita mahu melihat gandingan mana yang mampu memberi peluang terbaik untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat negara,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Sebagai sebahagian mencari formula baharu, Aaron akan digandingkan bersama Tee Kai Wun, manakala Wooi Yik bakal membentuk gandingan baharu bersama Man Wei Chong.

Kedua-dua pasangan itu dijangka memulakan ujian pertama mereka pada Terbuka Jepun dari 14 hingga 19 Julai depan sebelum turut beraksi di Terbuka Korea Selatan, Denmark dan Perancis.

Chong Wei berkata, tempoh sebelum bermulanya kelayakan Olimpik perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menilai tahap keserasian dan potensi setiap kombinasi yang dibentuk.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pasangan yang sudah layak ke Kejohanan Dunia akan kembali bergandingan bersama pasangan asal masing-masing kerana kelayakan diperoleh menerusi kombinasi sedia ada.

“Untuk Kejohanan Dunia, mereka akan bermain bersama pasangan asal kerana kelayakan diperoleh menerusi gandingan tersebut. Percubaan scratch pair ini adalah untuk perancangan jangka panjang dan bagi melihat keserasian pemain sebelum kelayakan Olimpik bermula,” katanya.

Menurut Chong Wei, pendekatan berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa kerana banyak negara kuasa besar badminton dunia turut melakukan rombakan pasangan selepas Olimpik Paris 2024 sebagai persediaan menghadapi kitaran Olimpik seterusnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN