fbpx
Memegang jawatan Presiden Wawasanita sejak enam tahun lalu, Norlaili bukan sekadar berjasa kepada pembangunan keusahawanan wanita dalam negara sahaja malah di peringkat global dengan membawa usahawan lokal menyertai pelbagai program berbentuk jaringan.

Kewibawaan Datin Dr. Norlaili lahirkan usahawan wanita bertaraf global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEBELUM aktif sepenuhnya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangunan usahawan, saya mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor perbankan.

“Saya juga pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Senior Vice President Affluent Banking Services di Al Rajhi Bank yang mempunyai cawangan di Malaysia, pembiayaan peruncitan, analisis kredit dan pemulihan kewangan.

“Saya juga pernah berkhidmat di bawah agensi kerajaan yang memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

“Pengalaman-pengalaman tersebut banyak membantu saya memahami cabaran sebenar yang dihadapi ‘bangsa usahawan’.”

Itu mukadimah Presiden Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), Datin Dr. Norlaili Alias, 53, mengenai pengalaman dan titik tolak dirinya berkecimpung dalam dunia keusahawanan.

Selepas enam tahun memegang jawatan utama dalam Wawasanita, pelbagai kemajuan serta pembangunan usahawan berjaya dilakukannya.

Buktinya, baru-baru ini Norlaili telah mendapat pengiktirafan Asean Women’s Outstanding Contribution To Asean Women’s Career Award 2025 di Jepun serta Anugerah Kepimpinan Perniagaan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Lebih membanggakan, sumbangan dan jasanya tidak terhad kepada pembangunan keusahawanan di dalam negara sahaja, malah di peringkat global dengan membawa para usahawan lokal menyertai pelbagai program berbentuk jaringan.

“Sebagai presiden, saya bertanggungjawab merangka hala tuju strategik organisasi yang lebih lestari, sesuai dengan peredaran teknologi dan ekonomi.

“Saya juga bertanggungjawab memperkukuh jaringan kerjasama tempatan dan antarabangsa yang berimpak tinggi.

“Tidak setakat itu, saya juga diberi amanah memampankan agenda pemerkasaan wanita.

“Saya juga perlu memastikan program-program yang dilaksanakan memberi high impact high growth income (peningkatan pendapatan berimpak tinggi) kepada komuniti usahawan wanita,” katanya ketika ditemu bual K-Wanita baru-baru ini.

Norlaili (kanan) menerima sijil penghargaan sebagai penasihat kepada Malaysia Women Entrepreneur Chamber of Commerce dalam sebuah program.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, tanggungjawabnya bukan sekadar mengurus organisasi, malah memastikan setiap usahawan wanita dan ahli mendapat pelbagai kemudahan.

Ini termasuk akses kepada latihan, pembiayaan, pemasaran dan peluang eksport yang ditawarkan oleh kementerian dan agensi kerajaan.

“Saya melihat peranan yang digalas selama enam tahun ini sebagai satu amanah besar dan bukannya suka-suka.

“Saya perlu membantu lebih ramai wanita berdikari dari segi ekonomi dan menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara,” ujarnya.

Berkongsi maklumat mengenai Wawasanita, ibu kepada empat cahaya mata dan tiga cucu itu memberitahu, ia merupakan sebuah NGO yang ditubuhkan secara rasmi pada 13 Februari 1996.

Akui Norlaili, dia mengenali Wawasanita melalui satu program yang dianjurkan oleh Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED).

Katanya, ketika itu dia sedang bertugas sebagai Pengurus Bank Bumiputera Malaysia Berhad cawangan Ampang Point, Selangor sekitar tahun pada 2000.

“Apa yang membuatkan saya ingin berkecimpung dalam NGO adalah jaringan. Persatuan adalah satu platform yang setiap wanita wajib sertai kerana ada pelbagai kelebihan,” ujarnya.

Jelas Norlaili, penubuhan Wawasanita membawa mandat memperkasa wanita melalui pendidikan, pembangunan (kepimpinan jati, keusahawanan mampan, latihan serta kemahiran), selain aktiviti kemasyarakatan lestari yang memberi fokus kepada pemerkasaan wanita.

“Objektif utamanya adalah untuk membantu dan melatih wanita menjadi usahawan berdaya saing, meningkatkan kemahiran serta pengetahuan ahli.

“Ia juga membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa, selain membantu mereka dari segi pembiayaan dan pembangunan perniagaan,” katanya.

NORLAILI (kiri) bersama penasihat kehormat Wawasanita, Hartini dalam satu program keusahawanan baru-baru ini.

Berkongsi pencapaian yang diraih Wawasanita sejak menerajuinya, Norlaili berkata, NGO itu terlibat dalam pelbagai misi perdagangan antarabangsa, pameran perniagaan dan program pembangunan usahawan.

“Selama penubuhan NGO ini, ada usahawan kita berjaya membuka rangkaian restoran di sekitar United Kingdom dengan jenama ‘Rasa Malaysia’.

“Di Pakistan, kita ada usahawan yang mempunyai kilang tekstil di Faisalabad, selain pembukaan cawangan di Dubai, Hong Kong, China dan banyak negara lagi,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran pernah dihadapinya sepanjang mengepalai Wawasanita, wanita yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Pengurusan Perniagaan itu mengakui ada halangan tersendiri.

Menurutnya, antara cabaran utama adalah bagaimana membina keyakinan wanita untuk keluar daripada zon selesa.

Ujarnya, ramai wanita mempunyai potensi besar tetapi masih berdepan kekangan keyakinan diri dan terlalu selesa di zon sedia ada.

“Cabaran lain yang saya hadapi adalah untuk memastikan suara wanita daripada pelbagai latar belakang dapat didengar dan diwakili secara adil.

“Selain itu, menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi juga antara cabaran yang perlu kami hadapi.

“Perubahan teknologi dan ekonomi yang sangat pantas terutama dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI) ini memerlukan para usahawan sentiasa belajar serta mengadaptasinya,” katanya.

NORLAILI (empat dari kiri) bersama para usahawan dalam program Pitching Day Koperasi Wawasanita Malaysia baru-baru ini.

Pun begitu, berkongsi mengenai kebolehpasaran usahawan wanita di negara ini, anak kedua daripada empat beradik itu melihat golongan itu mempunyai potensi yang sangat besar.

Menurutnya, wanita di negara ini cepat belajar, kreatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Mereka semakin berani meneroka pelbagai bidang baharu termasuk teknologi, ekonomi digital dan keusahawanan.

“Namun, peningkatan kemahiran baharu terutama dalam bidang AI, digitalisasi dan inovasi perlu diberi penekanan bagi memastikan wanita Malaysia terus relevan dan kompetitif.

“Hari ini, semakin ramai wanita memanfaatkan platform digital, e-dagang dan media sosial untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Namun, mereka masih perlu meningkatkan kemahiran dalam teknologi, pengurusan kewangan dan pembangunan jenama supaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa,” tuturnya.

Bercerita mengenai perancangan yang mahu dibawa bagi jangka panjang, Norlaili berkata, dia komited melahirkan lebih ramai usahawan wanita berstatus eksport ready, memperluaskan jaringan perdagangan antarabangsa serta memperkukuh program latihan digital dan AI.

Pada masa sama, Wawasanita mahu meningkatkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta, membina lebih banyak peluang pembiayaan untuk wanita serta mengembangkan platform pemasaran global produk ahlinya.

Norlaili turut berpesan kepada wanita dan bakal usahawan supaya tidak takut untuk mulakan sesuatu.

“Kegagalan bukan penamat tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran. Percayalah kepada diri sendiri dan jangan sesekali meragui potensi yang anda miliki.

“Jangan takut untuk bermula meskipun secara kecil-kecilan. Kejayaan tidak datang dalam sehari, tetapi dengan usaha yang konsisten dan disiplin, impian boleh menjadi kenyataan,” katanya.

Katanya, Wawasanita sangat mengalu-alukan lebih ramai wanita menyertai dan bersama-sama membina masa depan lebih progresif, inklusif dan mampan untuk semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN