fbpx
PIZA Sukiyaki (kiri) dan piza wagyu (kanan) merupakan pilihan utama pelanggan di kafe tersebut. – Iqbal Rosli

Sukiyaki versi piza jadi taruhan baharu kafe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GIGITAN pertama mempertemukan tekstur kerak piza yang rangup di bahagian luar dengan bahagian dalam doh yang gebu dan anjal.

Rasa sos sukiyaki yang kaya dengan gabungan manis dan masin menyelaputi setiap lapisan, menghasilkan keseimbangan rasa yang memikat selera.

Hirisan daging shabu-shabu yang empuk pula mudah dikunyah, membebaskan jus dan perisa yang berpadu sempurna dengan keju mozzarella yang berkrim serta meleret pada setiap suapan.

Itulah pengalaman menikmati piza sukiyaki, menu artisan Neapolitan piza terbaharu yang menjadi taruhan Pociato Coffee & Pizza di Eco Majestic, Semenyih, Selangor.

Kafe tersebut beroperasi setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam, kecuali Jumaat yang bermula lebih lewat iaitu pada 2.30 petang.

Menurut pemilik kafe tersebut, Nur Zarith Sofea Mohd. Rafi, piza gaya Neapolitan yang ditawarkan mempunyai tekstur lembut, ringan dan berongga, berbeza dengan gaya Amerika atau moden yang lebih rangup serta lebih tebal.

“Piza sukiyaki diperkenalkan sebagai menu terbaharu kafe ini bagi menawarkan kelainan kepada pelanggan melalui gabungan rasa sukiyaki Jepun dan piza gaya Itali.

“Masyarakat Malaysia sekarang sememangnya sangat menggemari sukiyaki iaitu hidangan tradisional Jepun berasaskan daging hiris nipis, dan kami terjemahkan ia dalam bentuk piza.

“Untuk piza, kami menggunakan kaedah direct dough yang membolehkan doh difermentasi dalam tempoh lebih singkat, selain menghasilkan tekstur yang lebih mudah diterima oleh kebanyakan pelanggan,” katanya kepada CitaRasa.

PEMILIK Pociato Coffee & Pizza di Eco Majestic, Nur Zarith Sofea menunjukkan menu signature kafe tersebut.

Selain itu, signatur piza wagyu yang menggunakan daging wagyu gred A5 dari Jepun sebagai bahan utama merupakan menu signatur yang sentiasa mendapat tempat di hati pelanggan.

Dari segi penyediaan, piza ini menggunakan keju mozzarella, sos truffle buatan sendiri, jalapeno, tomato ceri dan cili tertentu yang memberikan rasa sedikit pedas tetapi masih sesuai untuk kanak-kanak.

Bagi mereka yang ingin menikmati pasta, kafe ini menawarkan empat pilihan sos utama iaitu telur masin, aglio e olio, karbonara dan pomodoro.

Daripada empat sos utama ini, pelanggan juga boleh memilih protein yang diinginkan seperti udang, daging lembu beef atau ayam pepperoni.

Menu pasta paling laris adalah sos telur masin yang dihasilkan dengan rasa yang lebih pekat dan kuat berbanding kebanyakan hidangan sos telur masin lain di pasaran.

Ramai pelanggan yang tidak gemar makanan berasaskan telur masin turut boleh menerima hidangan ini kerana rasanya yang unik.

Pelanggan turut boleh mencuba udang aglio e olio yang menggunakan sos berasaskan bawang putih dan boleh dipilih sama ada versi pedas atau tidak pedas.

KEK ini menggabungkan rasa raspberI yang seimbang dengan rasa asli kek keju bakar.

Rangkaian pencuci mulut turut menjadi tarikan apabila kek keju bakar raspberi menjadi antara kek paling laris di kafe ini.

Kek ini menggabungkan rasa raspberi yang seimbang dengan rasa asli kek keju bakar yang kaya dan berkrim.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati ayam salai and keju  iaitu hidangan yang menggunakan hirisan ayam salai bersama sos bawang putih sebagai pelengkap rasa yang lebih enak (savory) dan beraroma.

Tambah Nur Zarith Sofea, kebanyakan pelanggan di Malaysia lebih cenderung kepada minuman kopi yang mudah diminum berbanding kopi yang mempunyai rasa kopi yang kuat.

“Minuman mentega krim latte kami popular kerana rasanya yang seimbang, tidak terlalu pahit dan tidak terlalu manis.

“Ia turut dilengkapi dengan lapisan krim di bahagian atas yang memberikan tekstur lebih berkrim.

“Matcha strawberi latte pula menggunakan puri strawberi sebenar di bahagian bawah, diikuti lapisan matcha dan dihias dengan serbuk strawberi.

“Penggunaan strawberi sebenar memberikan rasa buah yang lebih asli dan membezakan minuman ini daripada produk yang ditawarkan oleh kebanyakan kafe lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN